PEMBANGUNAN SOSIO EKONOMI MASYARAKAT PULAU

Utusan Borneo, ms.11 ,21 April 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

Kewujudan UMS di negeri ini, sudah pun dimasyhurkan menerusi program-program kemasyarakatan oleh pelbagai Jabatan, Sekolah, Pusat, Institut dan Unit dalam UMS. Baru-baru ini iaitu dari 13 hingga 15 April 2009, bertempat di Pulau Mentanani, Kota Belud, telah diadakan program khidmat masyarakat oleh seramai 14 orang pelajar Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UMS. Prof Madya Dr Kassim Hj Md Mansur, Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi bersama Tuan Hj Dullah Hj Muluk, Pensyarah SPE, telah mengetuai rombongan tersebut untuk mendedahkan para pelajar kepada kehidupan komuniti masyarakat Pulau.

Selain menyelami keadaan sebenar kehidupan masyarakat ini, ianya juga bertujuan untuk memenuhi beberapa objektif. Antara objektif utama program tersebut adalah untuk mengasaskan suatu pembangunan lestari yang mampu membangun sosio-ekonomi masyarakat setempat. Selain itu, program ini diharapkan dapat membangkitkan kesedaran ibu bapa terhadap ilmu pengetahuan. Dimana para pelajar berpeluang untuk mengadakan sesi-sesi bersama dengan para ibu bapa dan anak-anak Pulau.

Pulau Mentanani terletak dalam kawasan daerah Kota Belud. Ianya dihubungkan dengan tanah besar menggunakan pengangkutan laut. Jika menggunakan bot dengan kekuatan kuasa enjin 400 kuasa kuda, ianya akan mengambil masa selama satu jam untuk sampai ke Pulau berkenaan. Masyarakat Pulau adalah seramai lebih kurang 1,500 orang yang terdiri daripada suku Bajau Ubian. Majoriti daripada masyarakat Pulau adalah nelayan. Sejak sekian lama masyarakat ini memang dikagumi dengan kemahiran dan kecekalan mereka dengan kehidupan yang bersumberkan pendapatan dari hasil laut. Ombak adalah onak yang tidak berduri yang tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan penghidupan di Pulau. Namun demikian mereka harus bersandarkan kepada realiti mengenai arus globalisasi yang akan terus menghambat keadaan hidup yang statik sifatnya.

Dalam hubungan ini, maka elemen persaingan perlu diwujudkan. Dalam konteks masyarakat di Pulau, mereka perlu melihat globalisasi sebagai suatu aspek yang memberikan mereka cabaran. Justeru, cabaran itu perlu disaingi dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Ini adalah kerana kelak ianya akan mengakibatkan kedudukan masyarakat ini akan terus terpinggir atau ketinggalan, sehingga mereka mungkin akan dikategorikan sebagai masyarakat yang mundur dalam beberapa tahun akan datang.

Menyedari akan kemungkinan ini, maka UMS melalui SPE terpanggil untuk menyeberangi lautan yang memisahkan pulau ini dengan tanah besar Kota Belud. Misi kunjungan SPE ke pulau ini adalah bersama misi melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk mengembangkan konsep ”ilmu pelita hidup.” Ilmu pengetahuan adalah pra-syarat kepada pembangunan sosio-ekonomi. Sehubungan dengan itu, maka generasi muda perlu diberikan tumpuan sebagai kumpulan sasaran yang perlu ditanamkan dengan semangat dan motivasi yang tinggi untuk ingin mengubah kehidupan masyarakat mereka.

Prof Madya Dr Kassim Hj Md Mansur menyatakan ”untuk berubah, kita mesti sedia berubah. Secara langsung ianya bermaksud kita (masyarakat itu sendiri) mahu membina kapasiti kita sendiri, agar berupaya untuk bersaing dalam tempoh 10 hingga 20 tahun mendatang, malah tidak keterlaluan untuk selama-lamanya. Selain itu, golongan dewasa yakni ibu bapa, perlu bersedia mengubah persepsi mereka untuk sedia ’berpisah sementara’ dengan anak-anak demi untuk mencapai kecemerlangan anak-anak dalam menuntut ilmu. Kesedaran ibu bapa perlu disemarakkan agar generasi muda lebih terdorong untuk mencapai kejayaan sejak di peringkat sekolah rendah lagi.”

Baru-baru ini, iaitu pada 19 April, perahu layar UMS-Parangkang dengan enam orang pelayar terdiri daripada dua orang pensyarah UMS dan empat yang lain, telah memulakan pelayaran mengelilingi Sabah bermula dari Semporna sehingga ke Sipitang. Perahu yang menggunakan kuasa layar itu, hanya akan menggunakan kuasa enjin rendah pada waktu berhadapan dengan arah angin yang berlawanan. Ia bakal mengharungi gelombang laut dalam tempoh sebulan lamanya. Walaupun pelayaran ini seperti bertentangan dengan kemajuan yang sedang dikecapi (menggunakan bot berenjin sepenuhnya daripada perahu layar), tetapi ianya mempunyai matlamat yang sungguh murni. Yakni, ianya adalah suatu ekspedisi bagaimana untuk kita mengatasi segala kemungkinan bukan hanya berbekalkan semangat dan kecekalan. Sebaliknya kita perlu bersandarkan kepada ilmu pengetahuan. Dalam konteks ekspedisi tersebut, ilmu pengetahuan berkaitan pelayaran akan menjadi bekalan bagi memastikan kesemua pelayar sampai ke destinasi dengan selamat.

Kefahaman seperti inilah yang cuba diterapkan oleh para pelajar SPE yang mengadakan program bersama masyarakat pulau. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukan hanya akan memberi pendedahan mengenai kehidupan sebenar kepada para pelajar malah akan membangkitkan semangat dan iltizam mereka untuk menjadi kumpulan modal insan yang kelak bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat dimana sahaja mereka ditempatkan. Program seumpama ini mampu mendidik minda dan sahsiah mereka agar mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Jika dilihat kepada aspek keindahan pulau adalah didapati bahawa Pulau Mentanani mempunyai ciri-ciri pulau peranginan yang sesuai untuk dibangunkan. Sekaligus mampu menjadi sumber langsung kepada pembangunan ekonomi. Pastinya perkara ini telah pun diteliti oleh pihak kerajaan dan sudah ada perancangan mengenainya. Namun, apa yang penting ialah agar masyarakat Pulau ini tidak hanya membiarkan masa berlalu begitu sahaja dengan cara kehidupan yang sekian lama dialami. Generasi muda mereka perlu diberikan suatu gagasan untuk mahu menyeberangi lautan yang kelak akan sedikit sebanyak mampu mengubah taraf hidup masyarakat keseluruhannya. Untuk itu, maka mahasiswa mahasiswi UMS komited melaksanakan pelbagai program yang boleh menarik generasi muda di serata pelusuk negeri ini, tertarik untuk mengikuti jejak langkah menuju ke puncak ilmu.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION