BUDAYA PENYELIDIKAN WADAH WARGA CEMERLANG

{ New Sabah Times, m/s 6, 23 Ogos 2008 }
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

Pentas Konvokesyen menobat cita,
Sulam warna sari makna,
Imej lensa patri cerita
Graduan mengangkasa tamadun bangsa,
Pada sembilan kapsul masa yang berbeza.

(I) Melakar Citra UMS
DI laman Kinabalu yang muda usianya,
graduan selesa melihat rakan
...yang mudah dihitung dengan jari bilangannya

(2) Mendukung Wawasan Negara
Di arca wawasan yang baru dibina,
graduan berdiri dengan hati membara
...yang bertingkat itu mengandungi seribu makna pengertiannya.

(3) Merintis Cabaran Globalisasi
Di Dewan Canselor yang simbolik rekabentuknya,
graduan tangkas membaca aksi dunia
...yang saban hari rumit dan getir rintangannya.

(4) Membina Kecemerlangan Penyelidikan
Di makmal sains yang dipenuhi ujian,
graduan pantas meneliti pergerakan
...yang sering dikaburi dengan pelbagai takrifan

(5) Memperkukuh Kualiti Dalaman
Di dalam bilik-bilik kuliah mahu pun di kawasan terbuka
graduan gigih meningkatkan ilmu mengukuh takwa
...yang pasti tergoda jika cuai dan leka

(6) Merealisasi Sedekad Impian
Di sepanjang jejak-jejak menjaring kejayaan,
graduan berpaksikan kepada pendirian
...yang fokus kepada matlamat dan tujuan.

(7) Mengupaya Modal Insan
Di atas kesedaran cabaran globalisasi yang tiada noktahnya
graduan berdikari tanpa mengharapkan ehsan
...yang menjadi tunjang keunggulan daya saingnya

(8) Memperkasa Kota Ilmu
Di laman bandaraya yang pesat membangun
graduan meneruskan agenda luhur tanpa jemu
...yang teguh mempelajari ilmu sejak turun temurun

(9) Memartabat Kota Ilmu
Di ceruk desa hingga ke kota tanpa ada batasannya,
graduan diajak berbakti kepada masyarakat
...yang dambakan dinamika pemimpin mudanya

Bertekad mengangkasa tamadun bangsa
Di Dewan Canselor yang mulia buat kali yang ke-10 nya
graduan perlu kembali menghayati perkaitan sembilan masa
...yang pasti menceriakan hari muka nusa dan bangsa.

(Puisi "Mengangkasa Tamadun Bangsa"oleh Jakaria Dasan)

Universiti Malaysia Sabah sekali lagi dikunjungi ribuan manusia dari pelbagai kaum dan negeri bermula dari 19 Ogos sehinggah 25 Ogos 2008. Dalam kalendar universiti terdapat dua keadaan bilamana kemeriahan kampus begitu dirasai. Pertamanya ialah pada ketika pendaftaran masuk pelajar baru yang dikenali sebagai Minggu Suai Mesra. Keduanya ialah pada majlis graduasi universiti atau dikenali sebagai Majlis Konvokesyen. Pada tahun ini, Majlis Konvokesyen UMS kali yang ke -10 diadakan bermula pada 23 Ogos hingga 25 Ogos 2008.

Jumlah pelajar yang terlibat dalam Majlis Konvokesyen adalah seramai 3,929 orang dengan melibatkan lima sidang penganugerahan. UMS amat berbangga kerana dapat terus melaksana misi melahirkan generasi baru yang siaga ilmunya dalam mempastikan ketidaktentuan masa depan tidak menggugat pembangunan negara ini. Graduan UMS, malah graduan universiti mana sekali pun, harus sedar bahawa dalam proses kehidupan terdapat dua fasa kelahiran. Fasa pertama ialah kelahiran yang azali, iaitu dari rahim ibu. Keduanya dari universiti, sebuah institusi ilmu, yang melengkapkan lagi kelahiran manusia sebagai insan yang berilmu yang terus unggul dengan nilai, adat dan adab serta tradisi bangsa yang berilmu dan bermaruah.

Di universiti, graduan telah diasuh mindanya agar berupaya melihat sesuatu perkara dengan lebih jelas berdasarkan kebenaran fakta yang disokong dengan pelbagai kajian penyelidikan. UMS peka dengan misi menghasilkan graduan yang bukan hanya berilmu, malah berkemahiran, berketrampilan dan berkebolehan. Elemen-elemen 3K (kemahiran, ketrampilan dan kebolehan) inilah yang dapat memperlihatkan sejauhmanakah sebenarnya kualiti seseorang graduan itu. Justeru itu, UMS dibawah teraju Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon, telah menjadikan aktiviti-aktiviti penyelidikan sebagai antara fokus utama yang akan merangsang minda pelajar jua akhirnya. Selaku orang yang paling lama di UMS memantau perkembangan penyelidikan, beliau mampu melihat akan keperluan budaya penyelidikan sebagai suatu budaya yang sangat penting dalam menghasilkan inovasi sekaligus menjana warga graduan yang cemerlang. Ke arah merealisasikan budaya penyelidikan dan inovasi inilah maka, Prof Dr Rosnah Ismail, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi telah dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan dan memakmurkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan yang menggabungkan kreativiti dan inovasi pensyarah dan pelajar.

Pertandingan Penyelidikan dan Rekacipta UMS 2008 atau dikenali dengan nama PEREKA 2008 yang dilangsungkan di UMS bermula dari 19 hingga 24 Ogos 2008 adalah inisiatif terbaru dibawah seliaan Prof Dr Rosnah dengan dibantu oleh Prof. Dr Awang Bono dari Pusat Penyelidikan dan Inovasi. Ianya diadakan sebagai salah satu pengisian utama dalam minggu Konvokesyen UMS. Sebanyak 82 penyertaan daripada Sekolah, Pusat, Institut dan Unit di UMS telah menyertai pertandingan tersebut. Seorang peserta pertandingan yang turut menyertai pameran yang diadakan iaitu Profesor Madya Dr Ho Chong Mun mempertandingkan penyelidikan beliau dan rakan-rakan penyelidik dari Sekolah Sains dan Teknologi berkaitan ilmu Matematik sebagai suatu subjek yang sebenarnya mudah untuk difahami dan amat menyeronokkan kerana ianya begitu menarik dan mempunyai perkaitan logik dengan keadaan sekeliling manusia. Sebagai contoh, hasil penyelidikan beliau dan rakan-rakan telah membuktikan bahawa dimensi Teorem Phytagoras itu jika dijelaskan menggunakan bongkah-bongkah kayu khas, akan menjadi lebih mudah dipelajari khususnya di kalangan murid-murid di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Seorang pelajar yang telah melakukan kajian dengan pensyarah dari Institut Penyelidikan Bioteknologi pula berjaya menghasilkan suatu teknik pengesanan samada kandungan daging yang dipakej untuk dijual kepada pengguna itu mempunyai kandungan daging dari binatang lain. Penyelidikan mereka ini akan dapat membantu usaha kerajaan untuk mempastikan keberkesanan penguatkuasaan produk halal yang sedang dilaksanakan. Selain itu, PEREKA 2008 terbukti berjaya mengetengahkan pelbagai hasil inovasi lain yang bakal memberi manfaat kepada kehidupan manusia.

Mungkin tidak ramai yang tahu perbezaan di antara rama rama dan kupu-kupu. Dr. Bakhtiar Effendy Yahya, Timbalan Pengarah (Akademik dan Penyelidikan), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan menjelaskan bahawa kebanyakan orang bila ditanya akan menjawab dengan mengaitkan kupu-kupu dengan waktu malam. Sebenarnya kupu-kupu aktif hanya pada waktu siang. Manakala, saiz rama-rama adalah yang lebih besar dari kupu-kupu dan mudah dikesan di waktu malam. Walaupun fakta seperti ini nampak remeh tetapi biasanya yang remeh itulah yang memulakan suatu perkara yang penting dan akan mempengaruhi kehidupan manusia. Bila Albert Einstein mencetus penemuan fiziknya, pasti dia sama sekali tidak menyangka bahawa penemuan beliau itulah yang telah meranapkan sebahagian daripada tamadun bangsa Jepun di Nagasaki dan Hiroshima. Dan detik kemusnahan yang lebih dasyat akan berlaku jika masyarakat dunia tidak melihat kepada kepentingan suatu perkara yang remeh.

Sehubungan dengan itulah budaya penyelidikan dan inovasi ini wajar diteruskan dengan mengambilkira peripentingnya kreativiti manusia itu bukan hanya memajukan kehidupan manusia bahkan juga menjamin kesinambungan ketamadunan dunia. UMS akan terus memperkukuhkan aspek penyelidikan ini dengan menjadikan kelebihan bumi negeri Sabah ini khususnya sebagai pusat penyelidikan yang berpotensi menyelamatkan dunia. Graduan harus memiliki jiwa yang besar. Jiwa yang besar itu pula perlu diasaskan dengan program-program berteraskan penyelidikan dan inovasi.

Komponen penting dalam memperkasa institusi ilmu selain daripada mahasiswa ialah komponen sumber manusia. Dalam amanat kepada kakitangan UMS yang disampaikan oleh Naib Canselor beliau telah menggariskan Lapan Tonggak Jati Diri Kakitangan UMS. Tonggak-tonggak tersebut ialah, integriti, hormat-menghormati, kebebasan akademik, kreatif dan inovatif, pengantarabangsaan, tanggungjawab sosial, meritokrasi dan profesionalisme. "Visi, misi dan objektif universiti telah sedia ada dan untuk mencapainya, kita telah pun mempunyai mekanisma menjayakannya. Terbaru, ialah dengan berpandukan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Untuk itu, UMS telah pun menggariskan tujuh kaedah yang selari dengan tujuh teras PSPTN kementerian Pengajian Tinggi Negara. Persoalannya, bagaimanakah mekanisma itu hendak diadaptasikan pendekatannya jika kita begitu selesa dengan cara atau kaedah yang telah saban tahun kita lakukan? Justeru, kita perlu melakukan suatu perubahan paradigma dalam diri kita untuk mengotakan matlamat Pelan itu. Berubah dalam ertikata menghasilkan suatu momentum yang penuh tekad untuk meningkatkan prestasi yakni menghasilkan kualiti yang jauh lebih baik dari yang sebelumnya," Prof Datuk Dr Kamaruzaman.

Sehubungan itu amatlah penting agar setiap kakitangan universiti perlu berusaha menjadikan dirinya sebagai role model yang terbaik. Bagi mencapai tujuan tersebut, setiap kakitangan perlu muhasabah diri dengan jujur. Persoalan seperti "apakah kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita dengan bersungguh-sungguh, bermula dari rumah sehinggalah ke tempat kita bekerja?" perlu sentiasa ditanya pada diri masing-maing. Memiliki kelebihan pastinya menjadi impian setiap orang. Walaubagaimana pun, kita perlu mempastikan bahawa kelebihan itu sebenarnya turut memberi manfaat kepada orang ramai di sekeliling kita. Dalam konteks seorang penjawat awam di universiti, kesedaran sebagai role model yang cemerlang perlulah disuburkan. Ini adalah kerana di sini kakitangan juga diperhatikan dan dijadikan contoh oleh anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan dalam beberapa tahun lagi.

Organisasi yang mantap dan berjaya perlu membuat perancangan yang rapi dan tersusun untuk membangun sumber manusia ke tahap yang optimum bagi melahirkan kakitangan yang mahir, profesional, berwibawa, berilmu serta mempunyai motivasi yang tinggi bagi menghadapi sebarang cabaran dan menyerap tekanan kerjaya diera globalisasi. Usaha untuk membina peribadi unggul perlu diterapkan di kalangan kakitangan agar ianya menghasilkan tindakan atau sumbangan yang memberi manfaat kepada universiti. Hakikatnya, untuk melakukan suatu perkara yang positif memang sukar dan getir cabarannya. Namun demikian dengan kesungguhan melakukan suatu perkara secara berterusan, insyaAllah akhirnya akan bertukar menjadi suatu kebiasaan yang mudah untuk diamalkan. Kefahaman seperti ini akan sekaligus mendukung usaha merealisasikan peranan UMS, sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, yang akan menghasilkan pelajar berkualiti, yang mampu bersaing di arena antarabangsa.

Dalam tulisan saya yang pernah tersiar di akhbar tempatan pada awal bulan ini, bertajuk "Mengangkasa Tamadun Bangsa," saya cuba membayangkan betapa graduan pada hari ini tidak harus mengongkong cita-cita mereka untuk lulus dengan cemerlang dan seterusnya mendapat pekerjaan yang terhidang di depan mata sahaja. Saya cuba membawa pemikiran mahasiwa dan graduan agar melihat ruang dan peluang itu sebenarnya tidak ada hadnya. Malah angkasa lepas itu juga menyediakan satu ruang yang hanya menunggu masa untuk dipelbagaikan peluangnya sahaja. Semuanya ini hanya akan berlaku dengan pantas jika mahasiswa dan graduan dibawah seliaan pensyarah menerobos kotak fikiran mereka dengan hasil-hasil penyelidikan yang berinovatif.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION