MAKNA SEGULUNG IJAZAH (Rencana Khas sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-11)
New Sabah Times, ms.8, 10 Oktober 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my
Pada 10, 12 dan 13 Oktober 2009, Universiti Malaysia Sabah (UMS) buat kesekian kalinya mengadakan Majlis Konvokesyennya. Konvokesyen kali yang ke-11 ini menyaksikan seramai lebih kurang 4,435 orang graduan lulusan Doktor Falsafah, Sarjana, Diploma Pascasiswazah, Sarjana Muda dan Diploma Pengajian Islam bergraduat. Pada masa yang sama, sepanjang seminggu itu, UMS sekali lagi dibanjiri oleh puluhan ribu ibu bapa, sahabat handai dan taulan serta masyarakat dari seluruh pelusuk tanahair. Penerbangan MAS dan AirAsia dilaporkan sentiasa dinaiki oleh kumpulan penumpang yang tiket akhir mereka ialah ke UMS dan bukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Hotel di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu mendapat tempahan penginapan yang bertali arus. Rezeki usahawan, khususnya yang berpeluang berniaga di Pesta Konvo Tamu Gadang melimpah ruah selepas berniaga di Bazaar Ramadhan. Impak Majlis Konvokesyen ini turut dirasai dengan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu dan kawasan berhampiran dengan UMS.
Sepertimana lazimnya, Majlis Konvokesyen UMS sentiasa menceriakan suasana Bandaraya Kota Kinabalu. Kemeriahan berkonvo dimulakan dengan Pesta Konvo Tamu Gadang yang disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah yang juga merupakan Canselor UMS pada 6 Oktober 2009. Selepas itu diadakan pula Majlis Perarakan Graduan Berjubah “Town and Gown,” yang menyaksikan kesinambungan keakraban hubungan di antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan UMS pada 8 Oktober 2009. Sederetan kakitangan pengurusan dan akademik serta wakil graduan dan pasukan beruniform UMS berarak masuk ke Bandaraya Kota Kinabalu menuju ke perkarangan bangunan ibu pejabat DBKK. Kumpulan ini disambut oleh Mayor DBKK iaitu suatu simbolik penerimaan mahasiswa UMS sebagai warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Disebalik semua peristiwa itu, sudah pastinya terpancar senyuman tanda kepuasan yang tidak terhingga di wajah-wajah para graduan yang telah mengharungi tiga hingga empat atau lima tahun pengajian di UMS. Ringkasnya, terdapat dua kumpulan graduan; graduan yang akan mula menempuh alam pekerjaan selepas bergraduat dan graduan yang telah bekerja. Kepada kedua-dua kumpulan ini pastinya ada makna tersendiri segulung ijazah yang mereka terima. Pengalaman beberapa orang graduat sewaktu menyampaikan ucapan mewakili graduan pada setiap Sidang Konvokesyen jelas menceritakan betapa proses pembelajaran di UMS bukan hanya memberikan ilmu pengetahuan, tetapi ianya turut memberikan pengalaman, kenangan, cabaran dan dugaan. Semuanya telah berjaya mematangkan lagi diri setiap graduat. Selaku salah seorang dari graduat, saya merungkaikan makna segulung ijazah pada perkataan ‘IJAZAH’ itu sendiri.
Tidak dinafikan bahawa tujuan yang sentiasa diucapkan oleh seorang graduat ialah untuk mendapatkan ilmu. Ini secara kebetulan pula dengan singkatan huruf ‘I’ pada perkataan ijazah itu. Selain mempelajari konsep-konsep ilmiah yang disampaikan oleh tenaga akademik atau pensyarah di sepanjang kuliah semester, ilmu yang dipelajari juga berkisar mengenai sejarah, peradaban, tamadun, kenegaraan, kemasyarakatan dan isu-isu global. Sesungguhnya pengisian ilmu itu telah membina kekuatan diri pada setiap mahasiswa. Apabila telah bergraduat, akan terbentuklah sifat kematangan dalam diri mereka. Perubahan dari segi cara berfikir akan jelas kelihatan tidak sepertimana sebelum mereka memasuki universiti dahulu.
Mencari ilmu semata-mata tidak akan menjadikan seseorang graduat itu berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negaranya. Seseorang graduat itu perlu menjalankan tanggungjawab sosialnya yakni bersedia untuk berjasa. Singkatan huruf ‘J’ pada perkataan ijazah membawa maksud jasa. Selama melalui tempoh pengajian di universiti ibu bapa adalah orang yang sentiasa berdebar-debar mengikuti perkembangan seorang graduat. Kepada mereka yang telah berkeluarga, isteri dan anak-anak juga tumpang resah dan gelisah mengalami sama pengalaman seseorang graduat itu selama mengikuti pembelajaran di universiti. Justeru, setiap graduat perlu menyedari betapa besarnya pengorbanan mereka selama ini. Bertanggungjawab dan berjasalah kepada mereka pula. Pada masa yang sama, kesedaran untuk berjasa kepada masyarakat juga pastinya sudah meningkat menerusi sesi-sesi kuliah yang diikuti. Berjasa kepada mereka samalah juga seperti berjasa kepada negara dan dunia. Jadilah pemimpin atau orang yang kenal akar budi dan peka tuntutan bakti.
Akhlak adalah maksud yang terdapat pada singkatan ‘A’ yang seterusnya. Seseorang graduat semestinya mempunyai pemahaman yang lebih jelas mengenai kesopanan dan kesusilaan yang juga merupakan salah satu daripada Rukunegara. Akhlak membentuk peribadi mulia. Kemuliaannya adalah terpancar dengan perlakuan yang mematuhi agama dan adab moral. Fikiran graduat juga akan lebih berintegriti sehingga mampu menentukan yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana betul dan yang mana salah. Semuanya ini diperkasakan melalui asuhan dan bimbingan ilmu yang telah diperolehi. Bagi graduat yang baharu menempuh alam pekerjaan mereka akan lebih bersedia untuk menghadapinya dengan berhiaskan akhlak seorang graduat yang diharapkan oleh para majikan. Kepada mereka yang telah bekerja, pemikiran mereka akan lebih kreatif dan inovatif di tempat kerja. Tip yang paling baik untuk menjaga perlakuan akhlak ialah dengan memahami sejelasnya maksud hablumminallah (hubungan dengan Allah SWT) dan hablumminannas (hubungan sesama makhluk). Kepada mereka yang bakal bekerja atau sedang bekerja di sektor awam, peliharalah akhlak ktia agar kita sentiasa dirahmati dan rezeki kita diberkati.
Huruf ‘Z’ pula boleh dimaksudkan sebagai zahir. Kita masih dalam bulan Syawal. Masih ramai lagi yang bersalam-salaman sambil melafazkan kata-kata keramat “Maaf Zahir dan Batin.” Zahir membawa maksud yang boleh dilihat dengan mata kasar. Saya mentakrifkan zahir sebagai ketrampilan diri kita. Seorang graduat sewajarnya sentiasa memelihara ciri-ciri dan etika yang baik dengan mempamerkan tingkah laku yang sesuai sebagai orang yang berilmu. Disamping itu zahir semata-mata tidak memadai. Kita juga perlu mempunyai nilai-nilai kebatinan yang tinggi. Dengan kata lain, dalaman diri kita perlu dimantapkan dengan sifat ketakwaan, keikhlasan, kejujuran, kesederhanaan dan seumpamanya. Untuk membina kekuatan dan keutuhan ketrampilan diri ini, maka kita perlu melihat orang lain seperti keluarga kita sendiri. Persaudaraan dalam masyarakat merupakan kunci kepada kekuatan negara dan ummah. Dengan sentiasa memupuk rasa kecintaan dan kekeluargaan yang tinggi, insya-Allah kita mampu memperkasakan lagi seruan 1Malaysia yang giat dianjurkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita.
Ilmu tanpa amal ibarat membeli baju baru tanpa memakainya. Jika disimpan dalam laci atau almari pakaian, semakin lama ianya akan berkulat atau lusuh dan pudar sehingga tidak seperti sewaktu ianya masih baharu dahulu. Huruf ‘A’ pada perkataan ijazah yang seterusnya saya definisikan kepada amal. Ilmu hanya akan membawa perubahan dan kemajuan jika ianya disampaikan dengan penuh tanggungjawab. Yakni, ia akan memberikan kegembiraan atau mendatangkan manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat. Sejarah telah membuktikan bahawa kegemilangan empayar atau kerajaan masa lalu dan kehebatan seseorang pemimpin, usahawan dan masyarakat terdahulu dan masa kini adalah kerana mereka mengamalkan ilmu yang mereka pelajari atau miliki. Dalam hubungan ini, graduat perlu bersikap proaktif dalam mempastikan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi dapat dikongsi bersama masyarakat. Ini adalah antara ciri-ciri modal insan yang diharap-harapkan oleh negara. Negara memerlukan sumber manusia yang dapat memacu kemajuan negara dan meletakkan bangsa Malaysia menjadi bangsa yang disegani dan dihormati.
Tidak semua orang mengharapkan balasan kepada jasa atau bakti yang telah diberikan. Akan tetapi, dalam proses dari seorang mahasiswa sehinggalah menjadi seorang graduat universiti, membalas jasa dan bakti ibu bapa dan keluarga itu adalah satu budaya mulia. Huruf ‘H’ pada perkataan ijazah itu membawa maksud hadiah. Sebaik-baik tanda terima kasih kita kepada kedua ibu bapa dan ahli keluarga lain ialah dengan menghadiahkan segulung ijazah yang kita terima ini kepada mereka tanpa batas waktu dan usia. Selagi mereka hidup atau pun selagi kita bernyawa, pastikanlah kita sentiasa mengingati nilai hadiah yang tidak terhingga yang perlu kita berikan kepada mereka. Sekecil-kecil hadiah ialah dengan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan mereka. Kita terjemahkan hadiah pertama dengan mencium kedua tangan ibu bapa kita dan peluklah mereka dengan hati nurani yang bersih dan jiwa yang mulia selepas bergraduat. Tanpa mereka kita tidak akan menerima segulung ijazah. Itulah makna segulung ijazah. Seperti maksud pantun berikut:
Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tidak begitu,
Sejak kecil ditimang ibu,
Sudah besar sayangi mereka selalu.
Kita juga wajar menghadiahkan kejayaan kita ini dengan menunjukkan tanda terima kasih kepada para pendidik yang telah menunjuk ajar kita yakni sejak dari bangku sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti. Kita perlu terus menghormati mereka walaupun kita sudah bergelar jutawan atau berjawatan tinggi kelak. Ini adalah kerana hasil daripada didikan ilmu merekalah yang pernah menyedarkan kita atau membantu kita mencapai kedudukan yang terbaik kelak, insya-Allah. Kejayaan ini juga wajar kita hadiahkan kepada para pemimpin kita yang telah berjaya mengekalkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran kepada negara kita. Sehinggakan kita dapat mengikuti pengajian ilmu di universiti dalam halaman sendiri.
Pada masa yang sama, janganlah kita lupa bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. Setiap kejayaan yang kita kecapi adalah atas izin-Nya jua. Jadilah insan yang soleh. Berjalanlah di atas muka bumi dengan segala sifat rendah diri tetapi tahu berbakti, tahu berbudi. Dengan segulung ijazah belum tentu kita boleh menjadi insan yang berjaya. Namun dengan segulung ijazah ini kita mampu mengorak langkah-langkah kejayaan kerana kita telah disuburkan dengan ilmu kefahaman yang membentuk asas kepimpinan dalam diri kita. Mudah-mudahan langkah kita tambah perkasa dengan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam segala pekerjaan yang kita lakukan atau usaha yang kita gerakkan.
Kepada semua rakan graduat, “Selamat Maju Jaya.”

Comments
Post a Comment