MAJLIS BICARA SEJARAH INSTITUSI TUAN YANG TERUTAMA YANG DIPERTUA NEGERI SABAH

{ New Sabah Times, 1 Disember 2008 }
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

"Masa silam sejarah yang pasti, masa depan sejarah yang menanti. Sejarah tidak mungkin layu dan pudar dimamah usia. Sejarah tidak mungkin kelam hingga lenyap ditelan zaman jika masyarakat kita sentiasa disemarakkan dengan pembudayaan menghayati sejarah. Mengenali sejarah nescaya rakyat akan bertambah kukuh cinta dan setianya kepada nusa dan bangsa. Memahami sejarah TYT itu juga adalah suatu perkara berkaitan sejarah, yang penting, dan perlu mendapat pemahaman dan penghayatan yang tinggi.” Prof Datuk Dr Kamaruzaman.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Bicara Sejarah Institusi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah yang diadakan pada 28 November 2008 bertempat di Galeri Universiti Malaysia Sabah. Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun dan Yang Berbahagia Datuk K.Y. Mustafa adalah dua tokoh dan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang telah diundang bersama-sama dengan Prof Dr Sabihah Osman dalam program Bicara Ilmiah yang dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dan Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah.

Yang Berbahagia Dr. Hajjah Samsiah Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa hasrat mengadakan majlis seumpama itu adalah bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai peripentingnya institusi Tuan Yang Terutama dalam memartabatkan negeri Sabah. Naib Canselor UMS, yang diwakili oleh Prof Dr Sanudin Hj Tahir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, pula menegaskan bahawa majlis wacana akademik seperti ini amat dialu-alukan selaras dengan matlamat Universiti Malaysia Sabah - menjadikan UMS sebagai salah satu daripada pusat percambahan dan pengembangan ilmu yang aktif di rantau ini -. Sesungguhnya tajuk yang dibincangkan dalam suasana ilmiah adalah sangat relevan dan penting demi memupuk penghayatan yang meluas di kalangan semua lapisan masyarakat di negeri Sabah khasnya dan di Malaysia amnya.

Atas kesedaran inilah, maka UMS melalui Sekolah Sains dan Sosial komited dalam menjayakan program yang diinisiatifkan secara bersama dengan Arkib Negara cawangan Sabah. Program itu tambah lebih menarik kerana ianya membariskan para ahli panel yang begitu arif untuk mengupas dan seterusnya membicarakan topik mengenai sejarah institusi TYT Negeri Sabah. Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun dan Datuk K.Y Mustafa merupakan kalangan tokoh tersohor dan ternama yang juga merupakan mantan-mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang telah terlibat secara langsung dalam memartabat legasi TYT. Manakala Prof Dr Sabihah Osman pula adalah ahli akademik UMS yang memang sinonim dengan sejarah Negara dan Negeri Sabah.

Perkongsian pengalaman kedua-dua mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah itu telah mendapat perhatian daripada kalangan mereka yang hadir yang sebahagian besarnya adalah ahli-ahli akademik Universiti Malaysia Sabah. Antara lain, Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun mengupas bicara sejarah yang berkaitan dengan aspek sebelum pembentukan Malaysia sehinggalah ke era 1980an. Beliau turut membincangkan aspek warisan institusi Tuan Yang Terutama itu yang diwarisi daripada sistem Gabenor Inggeris. Manakala, Datuk K.Y. Mustafa pula banyak memfokuskan bicara menerusi aspek pengalaman beliau dalam aspek-aspek pentadbiran melibatkan pelantikan beberapa orang Tuan Yang Terutama sehingga ke hari ini. Beliau juga turut menyentuh mengenai usaha penghasilan versi lagu Sabah Tanah Air Ku yang telah diperbaiki agar lebih sedap dikumandangkan. Versi lagu tersebut adalah versi yang pertamakali dimainkan sewaktu Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah pada 16 September 2006.

Banyak kupasan-kupasan menarik yang telah dikongsi bersama dengan para hadirin di majlis berkenaan. Suatu pengalaman yang menarik dan perkongsian ilmu yang berharga apabila para ahli panel turut menjawab dengan baik dan jelas mengenai pelbagai persoalan yang diajukan oleh mereka yang hadir. Universiti Malaysia Sabah yakin bahawa Bicara Ilmiah seperti Bicara Sejarah Institusi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah ini wajar terus disemarakkan ke arah membina masyarakat yang bukan hanya celik ilmu, malah perkasa jati dirinya, yakni dengan memahami sejarah yang telah berlaku.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION