MENGANGKASA TAMADUN BANGSA
{ Utusan Borneo, m/s.9, 31 Julai 2008 }
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my
Dari cetusan hati nurani pemimpin kepada cita-cita melahirkan tamadun bangsa yang disegani dan dihormati menjelang tahun 2020, maka Universiti Malaysia Sabah terbina di atas tapak tanah seluas 999 ekar di tengah Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun 1994. Wawasan pemimpin dan aspirasi rakyat terus menggagahi pembangunan universiti sehingga mampu mengembangkan sayap ke Wilayah Persekutuan Labuan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertapak pula di Sandakan. Produk universiti pastinya adalah pada graduan yang dihasilkan. Mereka inilah yang diharapkan mewakili kumpulan modal insan berbekalkan minda kelas pertama selaku penggerak kepada wujudnya sebuah tamadun bangsa yang perkasa di masa hadapan.
Kumpulan graduan yang pertama dilahirkan oleh Universiti Malaysia Sabah ialah pada tahun 1999 dengan jumlah seramai 640 Ijazah Sarjana Muda, enam (6) orang Ijazah Sarjana dan dua (2) orang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi. Pada masa itu majlis konvokesyen telah diadakan di Dewan Bangkuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah. Bertitik tolak dari situlah, jumlah graduan UMS terus meningkat sehingga hampir ke jumlah 15,000 orang sepertimana tercatat pada Majlis Konvokesyen ke-9, pada tahun 2007. Pada masa kini jumlah pelajar UMS yang masih menuntut di pelbagai Sekolah adalah hampir 18,000 orang. Setelah sembilan Majlis Konvokesyen, maka pada 23 hingga 25 Ogos 2008 akan berlangsunglah pula Majlis Konvokesyen kali yang ke-10. Sekali lagi di atas pentas dalam Dewan Canselor yang mulia itu, graduan UMS akan menobatkan cita-cita mereka. Cita-cita yang sebenarnya turut menjadi harapan ahli keluarga dan masyarakat negara tercinta ini.
Keceriaan akan bertambah meriah dengan bermulanya Pesta Tamu Gadang pada 19 hingga 25 Ogos. Sebagaimana lazimnya, Pesta ini diadakan bertujuan untuk mewar-warkan kepada masyarakat akan kelangsungan Majlis Konvokesyen. Pada masa yang sama ibu bapa dan saudara mara serta sahabat handai bakal graduan dapat memanfaatkan masa sepenuhnya menghadiri majlis konvokesyen itu. Uniknya Pesta Tamu Gadang ini ialah apabila masyarakat dari pelbagai kaum dan negeri dapat sama-sama memeriahkan lagi pesta yang diadakan. Secara langsung, aktiviti memperkukuhkan ikatan integrasi nasional dapat dijayakan.
Menimba ilmu itu adalah suatu usaha murni yang diibaratkan sebagai suatu perjuangan. Perjuangan untuk mengubah diri menjadi lebih maju dan pada masa yang sama tidak lupa kepada asal usul bangsa Malaysia. Masyarakat yang memiliki ilmu akan pasti memiliki pengaruh yang dominan. Justeru itu, pendakian ilmu perlu diangkasakan kesungguhannya. Pada era globalisasi ini dan pada era seterusnya kelak akan disandarkan di bahu para graduan harapan yang melebihi capaian realiti. Sebagaimana yang berlaku pada masa ini bilamana fantasi sudah menjadi realiti. Sudah ada anak Malaysia yang pernah menyaksikan bumi ini dari ruang galaksi angkasa. Itu adalah titik permulaan kepada usaha memetakan sebuah tamadun bangsa yang unggul. Usaha seterusnya ialah dengan komitmen, kesungguhan dan inovasi yang akan digerakkan oleh para graduan universiti.
Dalam hubungan ini maka sudah pasti aspek pengembangan ilmu itu menjadi faktor terpenting. Tenaga akademik adalah mereka yang bertanggungjawab mencanai segala ketinggian ilmu dan menanamnya dalam diri mahasiswa. Merekalah yang mengupaya modal insan dalam menempuh cabaran globalisasi yang tiada noktahnya. Merekalah yang memperkasa kota ilmu (universiti) di laman bandaraya yang pesat membangun ini. Merekalah yang akan memartabatkan institusi rakyat ini dari ceruk desa hinggalah ke kota tanpa ada batasannya. Bimbingan ilmu mereka akan dapat memperkemaskan lagi persiapan menghasilkan suatu tamadun bangsa yang memiliki ketinggian ilmu dan peribadi unggul.
Seorang ahli akademik kanan UMS menekankan bahawa ahli akademik yang cemerlang adalah mereka yang bukan hanya mengejar kenaikan pangkat semata-mata tetapi juga minat mengembangkan aktiviti penyelidikan dan menerbitkan hasil penyelidikannya yang akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dengan kata lain, ahli akademik itu tidak menghadkan peranannya untuk mendidik semata-mata, yakni menyampaikan ilmu kepada siswa siswi sahaja. Ahli akademik juga wajar mempertingkatkan kemampuannya dengan meningkatkan kualiti pencapaiannya melalui penghasilan penulisan dan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Untuk tujuan tersebut, maka usaha penerbitan hasil-hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh IPTA hendaklah diteruskan. Dalam era dunia tanpa sempadan (penggunaan internet), masyarakat mudah melihat mengetahui pencapaian IPTA atau ahli-ahli akademik. Telah ada suatu sistem yang dipanggil scHolar index yang boleh dimuat turun melalui web google dimana kita boleh mengetahui pencapaian seseorang ahli akademik melalui h-index beliau. Sistem ini juga membolehkan pengguna mengenalpasti sumbangan dan sambutan terhadap hasil penyelidikan ahli-ahli akademik seluruh dunia.
Sistem scHolar index sudah mula digunakan secara meluas yang membolehkan seseorang itu mengetahui sejauhmanakah seseorang ahli akademik di sesebuah universiti itu terlibat dalam penyelidikan. Ini juga merupakan salah satu sumber yang akan menjadi daya tarikan kepada pelajar pasca antarabangsa untuk membuat keputusan pemilihan sesebuah universiti. Dari satu sudut yang lain, masyarakat juga telah mempunyai satu opsyen yang telus memperlihatkan pencapaian ahli akademik kita melalui h-indexnya. Ahli akademik kita perlu segera menyedari bahawa seorang ahli akademik sebenarnya berada pada persaingan di peringkat antarabangsa. Untuk meneruskan kecemerlangan yakni daya saing dalam bidang akademik, maka ahli akademik itu hendaklah terus menulis (publish). Jika sebaliknya, yakni gagal untuk menghasilkan penulisan dan penyelidikan maka beliau berhadapan dengan kehilangan (perish) kredibiliti sebagai seorang ahli akademik yang sebenar.
Dalam masa pentadbiran Lt. Kol. Prof. Datuk Kamaruzaman Hj Ampon, Naib Canselor UMS, gerakan meningkatkan kualiti kakitangan akademiknya akan dipertingkatkan. Selain itu, penglibatan ahli-ahli akademik UMS dalam aktiviti penyelidikan antarabangsa akan digiatkan. Sebelum ini ahli akademik UMS pernah terlibat dalam beberapa siri penyelidikan yang bertaraf antarabangsa. Antara lain ialah ekspedisi yang melibatkan Prof Madya Dr Baba Musta, seorang pensyarah Geologi dari Sekolah Sains dan Teknologi, dan Dr. Micheal Wong, pensyarah Institut Penyelidikan Bioteknologi,Universiti Malaysia Sabah (UMS). Mereka telah berpeluang menjalankan kajian geologi di Antartika selama tiga (3) setengah bulan pada tahun 2004. Kajian Prof Madya Dr Baba bertajuk ”Kajian Geokimia dan Mineralogi Batuan Gneiss Terluluhawa dari Schimarcer Oasis, Antartika.” UMS telah dipilih oleh Akademi Sains Malaysia untuk mewakili Malaysia dalam Ekspedisi Saintifik India ke-24 ke Antartika. Kawasan kajian tertumpu di sekitar stesen Maitri iaitu stesen India di Antartika yang mana terletak di kawasan Schimarcher Oasis, bahagian timur Antartika. Kumpulan penyelidik India terdiri daripada pelbagai bidang, dan institusi yang terlibat ialah Geological Survey of India, National Geophysical Research Institute, Indian Institute of Geomagnetism, National Physical Laboratory, Indian Meteorological Department, National Centre of Antarctica and Ocean Research, Defence Institute of Physiology and Allied Science Survey of India, Zoological Survey of India, dan melibatkan beberapa saintis daripada universiti tempatan India.
Prof Madya Dr Baba menceritakan bagaimana perjalanan mereka menggunakan kapal pemecah ais bermula di pelabuhan Cape Town, Afrika Selatan dan mengambil masa selama Sembilan (9) hari untuk sampai ke Antartika. Ekspedisi ke Antartika ini adalah yang pertama diadakan bersama penyelidik daripada India dan juga pertama kalinya diikuti oleh penyelidik daripada negeri Sabah atau lebih tepat lagi dari UMS. Semasa ekspedisi dijalankan, musim di Antartika adalah musim panas dimana lapisan ais kutub (polar ice) sedang mencair dan memberi peluang kepada penyelidik untuk melihat sampel batuan terluluhawa dengan lebih jelas khususnya di sekitar Schimarcer Oasis. Suatu pemandangan menarik dapat disaksikan kerana kawasan kajian terdiri daripada kawasan pergunungan dan dikelilingi oleh salji yang tebal yang menganjur hingga ke arah lautan. Satu keunikan dapat dilihat pada batuan disini kerana walaupun lapisan ais mendominasikan kawasan yang luas namun masih juga berlaku luluhawa kimia. Walaupun luluhawa kimia tidak begitu aktif, namun fenomena ini menjanjikan suatu kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan.
Selain itu ekspedisi berkaitan dengan pelestarian alam semulajadi dan khazanah laut marin juga telah dilakukan oleh UMS melalui pusat-pusat kecemerlangannya. Terdapat juga beberapa hasil penyelidikan dari ahli akademik UMS yang telah mendapat pengiktirafan kebangsaan dan antarabangsa. Semuanya ini dipamerkan di Galeri Showcase UMS bertempat di tingkat tiga bangunan Canselori. Pendekkata, mahasiswa UMS telah mempunyai barisan pembimbing yang berkaliber untuk menujahkan tekad mereka setinggi yang mungkin. Dengan tekad cemerlang mereka mampu sampai ke tingkat yang lebih tinggi, malah tidak mustahil jika ianya setinggi angkasa.
Dalam sembilan kapsul masa (sembilan Majlis Konvokesyen), graduan UMS sudah pun berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan, sektor swasta dan ada juga yang bergelar usahawan berjaya. Baru-baru ini iaitu pada 23 – 25 Ogos 2008 melalui Kapsul ke-10 (Majlis Konvokesyen ke-10) angkasawan seterusnya telah pun berlepas lagi. Mereka adalah angkasawan yang akan terus mengharumkan nama UMS, keluarga dan negara. Malah merekalah yang akan meneruskan usaha memahat ketinggian peradaban tamadun bangsa Malaysia di bumi tercinta ini. Kepada semua angkasawan (graduan) TAHNIAH! DAN SELAMAT MAJU JAYA!

Comments
Post a Comment