1Malaysia, 1UMS

New Sabah Times, ms.9 , 2 Julai 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

1MALAYSIA, 1UMS

Syabas dan tahniah kepada seluruh siswa siswi yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, walau dimana sahaja anda melanjutkan pengajian. Khususnya kepada 4,150 orang siswa siswi Universiti Malaysia Sabah kumpulan yang ke-15. Jumlah ini adalah sebahagian daripada puluhan ribu pemohon yang berjaya mengotakan impian diri dan keluarga, menjejak kaki ke UMS. Mereka ini juga adalah sebahagian dari puluhan ribu pemohon yang perlu berasa bertuah kerana ditempatkan di sebuah universiti yang amat indah, yang terletak dalam lanskap pesisir pantai laut china selatan membiru dan banjaran gunung kinabalu yang menawan. Malah, mereka juga merupakan sebahagian daripada puluhan ribu pemohon yang akan berpeluang untuk mengenali dengan lebih baik maksud slogan 1Malaysia, dimana negeri Sabah telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, sebagai negeri yang memenuhi ciri-ciri tersebut. Ini adalah kerana negeri Sabah cukup sinonim dengan kepelbagaian etnik, suku kaum, kepecayaan, adat dan resam budaya. Justeru, siswa siswi UMS bakal menjadi antara pendukung utama menjayakan matlamat dan objektif slogan 1Malaysia menerusi 1UMS.

Sebagaimana lazimnya setiap tahun, seluruh IPTA sibuk dengan kehadiran siswa siswi baharu yang mendaftar masuk ke universiti. Senario ini turut berlaku di UMS sewaktu hari pendaftaran Kolej Kediaman pada 27 Jun dan hari pendaftaran universiti pada 28 Jun yang lalu. Jika dalam Dewan Canselor para pelajar baharu sibuk dengan pendaftaran mereka, Laman Graduan yang bertempat di luar Dewan Canselor UMS pula menjadi kawasan tumpuan para ibu bapa yang datang menghantar anak-anak mereka. Mereka datang dari pelbagai negeri di Malaysia. Mereka juga berkesempatan untuk saling berkenalan sesama ibu bapa yang datang. Di Laman Graduan telah diadakan sesi taklimat khusus kepada para ibu bapa. Sambutan dan rasa keprihatinan para ibu bapa amat jelas bilamana banyak soalan berhubung dengan penginapan dan pembelajaran anak-anak mereka diutarakan kepada Naib Canselor, Kol Prof Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Amran Ahmed. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof Madya Dr Shariff A.K. Omang, Pemangku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Dekan-Dekan serta Pengarah-Pengarah Universiti.

Dengan pertambahan bilangan penuntut baharu seramai lebih kurang 4,150 orang itu, UMS pada semester ini mempunyai lebih daripada 20,000 orang penuntut yang sedang mengikuti pengajian dalam 64 program yang ditawarkan. Semasa penubuhan UMS, 15 tahun yang lalu, Kolonel Prof Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon adalah Dekan Hal Ehwal Pelajar yang pertama. Bilangan tenaga pengajar UMS hanyalah seramai 24 orang pensyarah dan pentadbiran diuruskan oleh 13 orang staf pengurusan dengan dibantu oleh 26 orang kakitangan sokongan. Beliau masih ingat bagaimana getirnya cabaran kumpulan penuntut yang pertama, yang hanya seramai 205 orang menjalani kehidupan sebagai penuntut UMS yang sulung yang menumpang belajar sebagai penuntut university di KKYS. Tanpa bantuan dan panduan dari penuntut senior, kumpulan penuntut itu berjaya mengharungi pengajian mereka. Malah mereka sudah pun berkhidmat di pelbagai sektor kerajaan dan swasta, serta bekerja sendiri. Justeru, tugas mengikuti pembelajaran kepada siswa siswi baharu sesi 2009/2010 seharusnya begitu mudah jika dibandingkan dengan kumpulan sulung penuntut UMS pada tahun 1994.

Kebiasaannya, siswa siswi akan berhadapan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri mereka bukan sahaja dengan kehidupan kampus mala kesesuaian program yang diikuti. Ini adalah kerana pada semester pertama ini, mereka masih belum begitu pasti mengenai prospek program dengan kerjaya yang bakal diceburi di masa hadapan. Namun demikian, pada zaman globalisasi dan liberalisasi yang berteraskan ICT, dunia tanpa sempadan ini, alasan tersebut tidak boleh lagi dianggap sebagai teori yang dominan. Dengan kata lain, sesuatu program atau kursus itu tidak lagi boleh dianggap sebagai faktor penentu kepada jenis kerjaya siswa siswi kelak. Menurut Naib Canselor UMS semasa Majlis Amanat Siswa Siswi Baharu, “Apa sahaja bidang kursus atau program yang anda ambil, sebenarnya mempunyai masa depan yang cerah! Sangat cerah! Asal sahaja anda bijak mengaplikasikannya dengan pasaran kerja atau peluang kerjaya yang sentiasa luas menanti. Oleh itu, semasa mengikuti pengajian di UMS, bertekad dan berusahalah menjadi seorang yang terbaik antara rakan-rakan anda yang terbaik. Be the best of the best!

Sesungguhnya pembelajaran di universiti tidak sama dengan pembelajaran di sekolah menengah. Ini adalah kerana di universiti, siswa siswi sudah memiliki suatu elemen kemahiran semulajadi yang sangat penting. Elemen tersebut ialah sifat matang mereka. Pada jangka usia awal 20an, mereka sudah pun memasuki usia dewasa. Mereka sudah dapat membezakan makna kejayaan dan kegagalan. Mereka sudah boleh memikirkan betapa pelbagai cara dan kaedah hanya akan berjaya, jika mereka rajin belajar dan berusaha. Dengan kata lain, mereka seharusnya sudah boleh merancang mengenai kerjaya yang bakal diteroka. Justeru, mereka perlu sedar bahawa hanya dengan memiliki ilmu sahajalah mereka mampu mencapai impian.

Sewaktu di universiti, siswa siswi akan didedahkan dengan ilmu kemahiran insaniah. Kemahiran insaniah akan mempersiapkan mereka menjadi modal insan yang lebih bersedia menghadapi realiti dunia sebenar selepas menamatkan pengajian kelak. Kemahiran insaniah atau pun dalam bahasa inggerisnya disebut “softskills” akan diterapkan melalui pembelajaran di bilik-bilik kuliah dan pelbagai aktiviti ko-kurikulum seperti PALAPES, PALAPES Udara, SUKSIS, UMS-Prihatin dan pelbagai aktiviti program khidmat masyarakat. Sebagaimana tradisi UMS pada masa-masa yang lalu, siswa siswi baharu akan dianjak minda mereka untuk memahamii falsafah di sebalik motto “Bertekad Cemerlang” UMS. Motto ini menekankan kepada usaha menjadikan kecemerlangan sebagai budaya dalam sebarang aktiviti yang disertai. Mercu tekad ialah pencapaian yang akan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Bersandarkan kepada tekad inilah, siswa siswi baharu bersama-sama dengan senior mereka dan seluruh jentera pengurusan mampu menjadikan UMS sebagai sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia.

“Namun demikian, siswa siswi sekalian wajar memahami bahawa memasang tekad semata-mata tidak akan membawa kita kemana-mana. Kita perlu menyelami dan menghayati maksud “Bertekad Cemerlang” untuk mencapai kejayaan yang dihasratkan. Dengan tekad yang bersungguh-sungguh, akhirnya kejayaan akan dapat di capai. Segala halangan dan kekangan, anggaplah sebagai rintangan di jalanan yang mampu diketepikan. Yakni, dengan bantuan rakan-rakan dan juga bimbingan pensyarah siswa siswi sekalian.” Tegas Datuk Kamaruzaman lagi.

Dalam tempoh 15 tahun, UMS sudah pun melalui fasa-fasa pembangunan yang telah menjadikan universiti ini kian setanding dengan universiti-universiti lain yang lebih awal ditubuhkan. Bagi memastikan UMS terus berdaya saing maka sembilan (9) objektif utama untuk memantapkan lagi prestasi UMS di mata dunia telah digariskan;

Pertama : Mencapai kecemerlangan kesarjanaan akademik bertaraf antarabangsa dalam program pelbagai bidang iaitu sains, teknologi, kejuruteraan, perniagaan, ekonomi, politik dan sains sosial.

Kedua : Meneroka, memelihara dan memanfaatkan ilmu dengan berkesan untuk pembangunan masyarakat dan negara.
Ketiga : Mempertahankan kebebasan akademik dan mengekalkan kerapian intelektual di kalangan komuniti Universiti.

Keempat : Mengeluarkan graduan mengkhusus tetapi seimbang, berketrampilan, bertaqwa dan patriotik.

Kelima : Mengadakan program-program pengajian dan penyelidikan yang berkualiti serta relevan kepada masyarakat dan negara.

Keenam : Menjalinkan hubungan kerjasama di antara UMS dengan industri, kerajaan, badan-badan profesional dan masyarakat.

Ketujuh : Memupuk dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan murni sejagat serta keterbukaan berfikir dengan penuh tanggungjawab di kalangan para sarjana, pegawai dan tenaga sokongan universiti sambil mencapai hasil kerja yang optimum dan berkualiti tinggi.

Kelapan : Menyumbangkan kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang teguh dan saksama.

Kesembilan : Meningkatkan martabat dan prestij universiti sebagai institusi masyarakat yang unggul, progresif dan terkemuka

“Saya percaya bahawa objektif-objektif tersebut dapat direalisasikan jika siswa siswi sekalian dapat menghayati Slogan 1Malaysia, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.” Slogan ini merupakan suatu slogan yang berteraskan kepada usaha meningkatkan kesedaran bahawa segenap lapisan rakyat di Negara ini perlu hidup saling hormat menghormati dan berusaha memelihara keharmonian hidup rakyat Malaysia yang unik, yang terhasil daripada perpaduan rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, berbeza agama dan kepercayaan, serta kepelbagaian latar belakang hidup sosio, adat dan budaya.” Ulas Datuk Kamaruzaman lebih lanjut.

Beliau menambah bahawa slogan ini wajar difahami dengan jelas oleh kalangan mahasiswa mahasiswi selaku modal insan dan pemimpin Negara di masa hadapan. Proses pembelajaran perlu diterapkan dengan mengaplikasikan promosi atau kempen yang berunsur positif demi kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya. Perpaduan yang erat perlu dipupuk dan dipelihara sepanjang masa. Untuk menjayakan slogan ini, maka ikatan kemesraan dan setiakawan yang tulin dengan berteraskan semangat hormat menghormati dan saling bantu membantu di antara satu sama lain wajar diperkasakan.

Dengan penuh rasa bangga, UMS menerima 4,150 orang siswa siswi baharu sesi 2009/2010. Kepada semua ibu bapa, anda pasti berasa sangat gembira dan bertuah kerana anak-anak anda berjaya memasuki salah sebuah universiti yang unggul dalam kelasnya yang tersendiri. Seluruh jentera pengurusan dan pentadbiran UMS bersama-sama dengan senior-senior siswa siswi baharu ini akan berusaha memastikan anak-anak anda sentiasa ceria berada di Universiti Malaysia Sabah, kampus ceria!

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION