KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

New Sabah Times, ms. , 9 November 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my


Penghasilan buku-buku yang lengkap dan menyeluruh mencakupi pelbagai aspek sosio, ekonomi, politik dan pendidikan mengenai masyarakat peribumi negeri Sabah tidak begitu banyak terdapat di pasaran. Justeru itu, Universiti Malaysia Sabah dengan komitmen para pensyarahnya telah berusaha mempertingkatkan koleksi buku-buku ilmiah sedemikian. Salah satu daripada buku berkaitan adalah buku hasil tulisan Siti Aidah Hj Lokin yang bertajuk “Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran – Masyarakat Peribumi Sabah (1881-1963).” Penulis adalah merupakan pensyarah bidang Sejarah Malaysia dan mengajar kursus Hubungan Etnik di Pusat Penataraan Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah. Menerusi kajian mendalam beliau melalui literatur, artikel, tesis, surat khabar, karya perkamusan dan temu ramah dengan beberapa tokoh masyarakat peribumi Sabah itu sendiri, beliau berjaya menghasilkan sebuah buku terbitan Penerbit UMS yang memperincikan dengan cukup lengkap dan tersusun perkembangan masyarakat peribumi Sabah sedasawarsa sebelum merdeka.

Kemampuan penulis membukukan sebuah karya ilmiah mengenai perkembangan masyarakat peribumi Sabah yang begitu komprehensif wajar menjadi rujukan semua lapisan masyarakat di negeri ini khasnya. Dengan membaca buku ini, pembaca akan dapat mengimbau kembali pelbagai rentetan kisah melibatkan peribumi negeri ini sejak mula kewujudan kelompok masyarakat awal peribumi negeri Sabah sehinggalah Sabah merdeka menerusi Malaysia pada 16 September 1963. Buku ini mengandungi enam bab semuanya. Bab Pertama menceritakan mengenai sejarah awal negeri Sabah dan masyarakat peribuminya sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat. Bab Dua membawa pembaca ke era pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (1881-1942). Bab Tiga menerangkan mengenai perkembangan masyarakat peribumi semasa pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua meletus (1942-1945). Bab Empat menyorot kembali perubahan sosioekonomi dan pentadbiran masyarakat pasca Perang Dunia Kedua. Bab Lima menjejak semula kesedaran berpolitik masyarakat peribumi sehingga tahun 1963. Manakala, Bab Enam merupakan kesimpulan kepada kupasan-kupasan yang telah ditulis dengan terperinci dan menarik oleh penulis dari Bab Pertama hingga Bab Lima.

Apa yang menarik dalam Bab Pertama ialah kemampuan penulis menganalisa beberapa dapatan yang dibuat oleh penyelidik terdahulu atau menerusi penceritaan masyarakat mengenai asal usul nama negeri Sabah. Penulis tidak begitu bersetuju dengan asal usul nama Sabah yang dikaitkan dengan sejenis pisang yang dikenali sebagai pisang Sabah. Bagi penulis, asal usul nama negeri Sabah adalah lebih relevan dengan dapatan yang menyebut bahawa nama negeri ini diberikan oleh Kesultanan Brunei yang pada masa itu menguasai sebahagian besar tanah di Borneo Utara (Sabah). Penulis seterusnya menjelaskan bahawa dari segi makna dan penggunaan perkataan Sabah itu pula, lebih tepat jika dirujuk kepada perkataan ‘Saba’ yang terdapat dalam bahasa masyarakat peribumi, iaitu bahasa suku kaum Dusun Brunei dan Bisaya yang bermaksud ‘hilir’ atau ‘kawasan di hilir.’

Bermula dari huraian mengenai asal usul nama Sabah itu, penulis seterusnya memfokus kepada kewujudan atau kedatangan kolompok masyarakat yang membentuk masyarakat peribumi negeri Sabah. Penulis bersetuju dengan hasil-hasil penyelidikan sebelum ini bahawa penduduk Dusun dan subkelompoknya merupakan kumpulan peribumi yang terawal datang ke negeri ini dan dianggap sebagai peribumi Sabah yang asli. Pernyataan ini disokong dengan mengambilkira bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan kehadiran suku kaum lain di Sabah sebelum mereka. Direkodkan bahawa pada asalnya mereka mendiami kawasan pesisir pantai. Akan tetapi apabila kelompok masyarakat lain mula datang ke Sabah seperti masyarakat Bajau, Iranun dan Suluk, maka masyarakat Dusun telah berpindah ke tanah tinggi atau kawasan pedalaman dan mula mengamalkan kehidupan berkebun atau bertani, khususnya tanaman padi bukit. Wujud perkaitan dengan cerita ini apabila kebanyakan masyarakat peribumi Dusun yang tinggal di pedalaman pada hari ini juga mempunyai kecekapan dalam menangkap ikan di sungai atau mengusahakan kolam-kolam ternakan ikan air tawar.

Dalam bab pertama ini juga penulis mengkisahkan semula mengenai penguasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu ke atas kawasan-kawasan dalam negeri Sabah. Disebabkan oleh beberapa peperangan saudara yang melanda Kesultanan Brunei maka kawasan-kawasan Pantai Timur Sabah telah menjadi kawasan jajahan Kesultanan Sulu. Pada era-era berikutnya, kebijaksanaan kuasa asing dari barat telah menyebabkan tanah jajahan kedua-dua Kesultanan itu tergadai dan diletakkan di bawah pengaruh kuasa-kuasa Barat, khususnya pihak Inggeris. Secara langsung perkembangan ini telah memberi kesan kepada kehidupan masyarakat peribumi Sabah.

Sebenarnya sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat itu, terdapat tiga sistem pentadbiran yang diamalkan. Pertamanya, pentadbiran yang berasaskan kesukuan yang dikenali sebagai sistem politik kesukuan. Sistem politik ini tidak melampaui peringkat kampung dan begitu kuat diamalkan dalam kalangan masyarakat Dusun dan Murut berserta subkelompok masing-masing di kawasan pedalaman. Disebabkan oleh jurang geografi yang memisah-misahkan kelompok ini maka asas kepada sistem politik ini adalah berteraskan ikatan kekeluargaan. Ketua kampung adalah orang yang berkuasa dan berpengaruh yang juga dikenali sebagai ‘Orang Tua (OT).’ Segala adat istiadat ditentukan pentadbirannya oleh OT. Keduanya ialah sistem pentadbiran yang bercorak kesultanan yang wujud sejak abad ke-16 lagi. Secara spesifik kesultanan yang dimaksudkan ialah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Sepertimana diterangkan dalam perenggan sebelum ini, kekuasaan kedua-dua kesultanan adalah berkait rapat antara satu sama lain. Sistem pentadbiran yang ketiga ialah sistem pentadbiran yang diletakkan di bawah ketua-ketua bebas. Keunikan sistem ini ialah para pembesar yang menguasai sesebuah kawasan bukannya menguasai tanah yang dijaga atau diperintah tetapi mempunyai kuasa mengutip cukai ke atas penduduk yang mendiami kawasan tersebut. Jika para penduduk itu berpindah kawasan atau berhijrah ke wilayah lain, mereka masih perlu membayar cukai kepada pembesar tempat asal mereka.

Bab Kedua lebih memperincikan mengenai sejarah pertapakkan kuasa Barat di Sabah iaitu sejarah kolonialisme oleh SBBU dan dasar-dasar yang dilaksanakannya dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan sosial. Apa yang menarik dalam bab ini ialah bagaimana SBBU telah mengeksploitasikan institusi kepimpinan peribumi untuk kepentingan mereka. Majlis Penasihat Hal Ehwal Peribumi telah dihidupkan kembali pada tahun 1915 tetapi telah mengubah namanya kepada Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri (MPKAN) atau Native Chiefs Advisory Council (NCAC). Majlis ini tidak mempunyai kuasa perundangan tetapi memberikan hak kepada KAN Gred 1 atau Orang Kaya-kaya untuk mengundi dan meluluskan sesuatu ketetapan berdasarkan kepada suara majoriti dalam sesuatu pengundian yang dijalankan. SBBU walau bagaimanapun tidak begitu mengambil berat tentang pengurusan organisasi tersebut.

Hakikatnya, pengiktirafan SBBU ke atas MPKAN hanyalah salah satu alat untuk mengelak dari kebangkitan tentangan dari masyarakat peribumi sejak dari peringkat awal lagi. Namun keadaan mula berubah apabila D.J. Jardine dilantik sebagai Gabenor pada tahun 1934. SBBU mula menghormati institusi MPKAN dengan menaikkan gaji KAN yang terdiri dari semua peringkat gred (Gred I, II dan III). Disamping itu beliau telah menubuhkan Pusat Pentadbiran Peribumi di Bingkor pada tahun 1936 dan meminda Undang-undang Pentadbiran kampung 1913 kepada Undang-undang Peribumi 1937. Pendek kata pada masa era D.J. Jardine pelbagai perubahan yang positif berlaku kepada KAN. Selanjutnya dalam Bab Dua, penulis juga menyentuh mengenai sistem pendidikan pada masa pemerintahan SBBU yang hanya memberi peluang kepada anak-anak peribumi di kawasan bandar dan pekan sahaja. Sudahlah sukatan pelajarannya tidak sehebat sukatan pelajaran di sekolah Inggeris, jumlah anak-anak peribumi yang gagal menempuh pembelajaran di peringkat sekolah tinggi dalam aliran Inggeris juga sangat ketara. Masalah ketinggalan dan keciciran dalam bidang pendidikan ini telah melambatkan lagi kemunculan kesedaran kebangsaan dalam kalangan anak-anak peribumi Sabah berbanding negeri-negeri lain. Kelewatan anak-anak peribumi mengetahui, memahami dan menghayati semangat patriotik itu adalah berpunca daripada keengganan SBBU untuk membina lebih banyak sekolah.

Hal ini telah membawa kepada pengertian mengenai semangat patriotik yang sempit, sepertimana ditulis oleh Maxwell Hall bahawa di kalangan suku kaum Dusun umpamanya, semangat patriotik telah diertikan sebagai semangat sayangkan atau mencintai tempat tinggal mereka tanpa mencintai keseluruhan negeri Sabah pada masa itu. Sebagaimana yang dihuraikan oleh penulis iaitu mereka mencintai tempat tinggal mereka tanpa mengira siapa pemimpin mereka, asalkan pemerintah tersebut membenarkan cara hidup mereka. Justeru itu bilamana Jepun melaksanakan dasar penjepunannya ketika menakluki Sabah semasa Perang Dunia Kedua, tidak terdapat banyak tentangan dari masyarakat peribumi. Malah kemampuan tentera Jepun menundukkan kuasa Berikat telah membuahkan kesedaran dalam kalangan tokoh-tokoh masyarakat peribumi mengenai kemampuan bangsa Asia dalam menumbangkan kuasa Barat. Walaupun keperitan hidup di zaman pemerintahan Jepun begitu kuat dirasakan, namun ianya telah mendorong kebangkitan semangat nasionalisme yang tulin dalam kalangan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan selepas kejatuhan Jepun. Bab Tiga telah lebih lanjut menyingkap mengenai perkembangan sosioekonomi dan politik yang melibatkan masyarakat peribumi.

Seterusnya dalam Bab Empat, penulis membincangkan mengenai perubahan dan perkembangan masyarakat peribumi Sabah pada zaman pasca Perang Dunia Kedua iaitu setelah Sabah diletakkan di bawah Pentadbiran Tentera British dan setelah dijadikan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Bab ini menjelaskan bagaimana penstrukturan semula pentadbiran dan dasar pembangunan sosioekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan Borneo Utara British telah membawa perubahan yang besar kepada masyarakat peribumi Sabah jika dibandingkan dengan perubahan yang berlaku pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Pada halaman 153, penulis menyentuh mengenai kemunculan golongan inteligensia peribumi yang kemudiannya mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam. Antara mereka ialah Karim bin Osman dari Sandakan, Thomas Koroh dari Keningau, M.Daim dan P.Majanggil dari Papar, Thomas Majanil dan Louis Chee dari Penampangg, Martin Binggan dari Menggatal, dan Harris Salleh dari Labuan.

Bab Lima adalah berkisar kepada kemunculan kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat peribumi yang lebih fokus kepada mewujudkan sebuah negeri atau negara yang merdeka. Dalam bab ini penulis menghuraikan faktor-faktor yang mendorong kepada berkembangnya kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat peribumi dan kesan kesedaran tersebut terhadap perubahan dan perkembangan masyarakat peribumi. Penulis lebih memusatkan proses bagaimana pemimpin-pemimpin daripada pelbagai suku kaum yang pada asalnya saling bertentangan pendapat dan pandangan antara satu sama lain melalui parti-parti yang ditubuhkan, tetapi akhirnya bersatu merealisasikan gagasan Malaysia. Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1961 telah berjaya menyatukan pemimpin-pemimpin peribumi Sabah untuk menterjemahkan kematangan pimpinan mereka dengan menunaikan manifestasi menubuhkan sebuah Negara berdaulat yang bernama Malaysia pada 16 September 1963.

Pembaca akan mendapati bahawa buku “Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran – Masyarakat Peribumi Sabah (1881-1963)” tulisan Siti Aidah Hj Lokin sebagai salah sebuah buku yang terbaik yang pernah ditulis mengenai perkembangan kepimpinan masyarakat peribumi Sabah. Olahan bahasa dan gaya penulisan begitu mudah untuk diikuti dan wujud proses penceritaan yang saling berkait di antara bab. Malah pada Bab Enam, penulis telah membuat suatu ringkasan yang teratur yang mampu memperkukuhkan lagi ingatan pembaca mengenai isi kandungan buku ini. Dengan membaca buku ini, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui fakta sejarah masa lalu, malah pembaca juga seolah berada dalam setiap dasawarsa masa itu.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION