MENAMBAT MINAT BEKERJA - PENDEKATAN PENDAFTAR UMS

{Utusan Borneo,24 Oktober 2008}
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

"Sewaktu bertugas di Jabatan Kastam dahulu, saya selalu terlibat dalam aktiviti-aktiviti pentadbiran dan penguatkuasaan. Jika diberi arahan, saya akan sedaya upaya melaksanakannya dan mempastikan ianya siap dalam masa yang singkat. Walaupun sikap saya agak 'bising' dalam mempastikan kesempurnaan tugas, tapi saya tidak pernah menekan staf bawahan mahupun menyusahkan rakan sejawatan. Semasa mula-mula berkhidmat di UMS dahulu, prinsip ini masih saya pegang. Mujurlah staf yang bekerja di bawah seliaan saya menerima seadanya saya ini. Mungkin juga kerana cara saya yang suka berterus terang dengan mereka mengenai cara saya mengkehendaki sesuatu tugas itu dijalankan. Bagi saya, sebagai ketua, kakitangan adalah 'anak buah' dan bukannya pekerja saya. Sudah tentu sebagai anak buah, mereka perlu diberikan arahan dengan jelas dan kerja-kerja yang diarah kepada mereka perlu rasional dengan kemampuan atau kebolehan mereka. Dan kaedah terbaik mendapatkan kerjasama anak buah ialah dengan kerap bermesra dan berjenaka dengan mereka pada masa-masayang sesuai."

Demikian petikan kata-kata En Abdullah Hj Mohd Said, Pendaftar Universiti Malaysia Sabah yang berasal dari Putatan Sabah. Dalam Institusi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia, beliau telah mencipta sejarah sebagai anak tempatan negeri Sabah yang pertama menjawat jawatan Pendaftar Universiti, yakni jawatan pengurusan pentadbiran tertinggi di Universiti. Jawatan ini juga secara langsung meletakkan beliau sebagai Setiausaha kepada Lembaga Pengarah Universiti. Dan setiap Ijazah yang dikeluarkan tertera nama dan tandatangan beliau. Demikian juga dengan surat lantikan jawatan. Dari jawatan Penolong Pendaftar, beliau telah dilantik ke jawatan Penolong Pendaftar Kanan, Timbalan Pendaftar, Pengarah dan akhirnya, pada tahun 2007, beliau dilantik menjadi Pendaftar UMS.

Dalam tempoh setahun memegang jawatan ini beliau telah membuat kajian yang teliti mengenai perjawatan kakitangan universiti. Kesannya, beberapa proses kenaikan jawatan pensyarah dan kakitangan bukan akademik telah dilakukan dengan mengikut tempoh dan bagi sesetengah jawatan diselesaikan lebih awal dari jadual yang ditetapkan. Bagi beliau, pengiktirafan kerja yang cemerlang tidak boleh dipandang ringan. Kenaikan pangkat adalah hak mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang. Mungkin ada yang pengurusan telah 'lepas pandang.' Namun pengurusan akan terus membuat penilaian dan akan memastikan para kakitangan berkenaan mendapat pertimbangan semula.

"Selaku Pendaftar, kakitangan mungkin melihat saya sebagai pemutus dalam masa depan kenaikan pangkat mereka. Tetapi setelah melalui beberapa sesi bersama mereka (kakitangan), saya telah menjelaskan bahawa tanggungjawab kenaikan pangkat adalah kerja pengurusan, manakala tanggungjawab kakitangan adalah melaksanakan tugas dengan bersih, cekap dan beramanah. InsyaAllah, proses kenaikan pangkat akan dapat dipermudahkan." Tegas Abdullah ketika ditanya mengenai peranan beliau dalam perjawatan.

Disamping itu, beliau juga telah mengambil inisiatif melaksana dan menguatkuasakan Mesyuarat Bulanan Pendaftar dengan Penolong-Penolong Pendaftar mewakili Jabatan, Sekolah, Pusat, institut dan Unit (J/S/P/I/U). Melalui mesyuarat ini beliau telah dapat memantau perkembangan setiap JSPIU. Setiap masalah melibatkan pengurusan dan pentadbiran dibincangkan dan diselesaikan melalui mesyuarat ini. Bagi perkara-perkara yang rumit, pelan tindakan mengatasinya dirancang dan dipantau secara berterusan. "Bukannya mudah untuk memenuhi keperluan semua pihak. Tetapi dengan memberi perhatian, ianya menunjukkan keprihatinan. Kita mampu mengatasi segala permasalahan dengan berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Dalam mesyuarat, saya menggalakkan ahli-ahli (wakil JSPIU) memberi idea. Idea yang baik mungkin tidak menyelesaikan masalah, tetapi sekurang-kurangnya ia membuka jalan kepada kaedah mengatasi masalah atau memenuhi keperluan yang dimaksudkan "

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa berusaha untuk meningkatkan sistem penyampaiannya, baik dalam bidang akademik mahupun bidang bukan akademik. Kesedaran ini sentiasa menjadi fokus En Abdullah Hj Mohd Said, selaku Ketua Pegawai Pentadbiran Universiti. Ke arah meningkatkan kualiti kerja yang tinggi maka beliau telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan sistem 5S yang telah dilaksanakan oleh beberapa Jabatan Negeri dan Persekutuan di Sabah. Sistem ini fokus kepada usaha memastikan keadaan pejabat yang sentiasa sistematik, kemas dan ceria sepanjang masa.

Maka pada 15 Oktober 2008, dengan rasminya program 5S telah dilancarkan. Majlis pelancaran telah dilancarkan oleh beliau sendiri sebagai mewakili Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Kamaruzaman Hj. Ampon. Dalam ucapannya, Abdullah berkata, program 5S iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal merupakan satu sistem yang menjadikan kawasan kerja di pejabat dan persekitarannya sentiasa mesra pengguna. Sistem ini berasal dari negara Jepun dan berupaya menerapkan minat kepada kerja. Ia juga mampu memupuk semangat kerjasama yang erat di kalangan kakitangan sekaligus melahirkan suasana pekerjaan yang ceria dan harmoni.

“Melalui sistem 5S ini kita dapat mengakses segala keperluan seperti fail dan barang keperluan yang lain dengan mudah dan cepat. Kita tidak perlu membuang masa terlalu banyak untuk mencari apa yang kita perlukan, memandangkan semuanya telah tersusun rapi dan mesra pengguna,” katanya. Tambah beliau, sistem itu juga berupaya untuk membentuk budaya bekerja dengan lebih berkesan dan efisyen serta menerapkan ciri kepimpinan di kalangan golongan kakitangan sokongan. “Justeru saya menyeru agar semua kakitangan memberi komitmen penuh untuk sama-sama menjayakan program 5S ini,” katanya mengakhiri ucapan. Lebih seratus orang kakitangan UMS yang terdiri dari wakil-wakil pengurusan pejabat telah menghadiri majlis pelancaran itu yang diadakan di Galeri, Bangunan Canselori UMS.

Dalam melaksanakan suatu kerja, semangat berpasukan amat penting. Ini bermaksud sokongan atau kerjasama yang diperolehi daripada rakan sepasukan atau rakan sepejabat. Tidak kiralah sama ada dari kalangan pegawai, kakitangan sokongan seperti pembantu pejabat atau pemandu. Semuanya saling memerlukan di antara satu sama lain bagi mempastikan setiap hari kita akan balik ke rumah dengan perasaan gembira. Gembira kerana kita dapat melaksanakan kerja sambil membawa bersama keseronokan bekerja dengan rakan-rakan pejabat. Aspek ini turut ditekankan oleh beliau. Dimana setiap kakitangan hendaklah saling bekerjasama di antara satu dengan yang lain. Ke arah memupuk semangat bekerjasama tersebut, beliau telah memulakan program Mendaki Bukit UMS pada 5 Julai 2008. Beliau yakin bahawa aktiviti riadah seperti mendaki bukit dan senaman ringan mingguan amat berfaedah bagi kesihatan badan dan rohani. Kempen 5S turut menitikberatkan perkara ini.

Menyentuh mengenai pandangan beliau mengenai mahasiswa UMS, beliau berazam untuk bersama-sama membantu kepimpinan Kol. Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon, Naib Canselor UMS, untuk menjadikan universiti ini sebagai sebuah universiti yang mampu melahirkan modal insan yang mempunyai masa depan yang cerah. Biasanya universiti dinilai kedudukannya berdasarkan penyelidikannya. Tetapi itu seharusnya tidak dijadikan alasan untuk menilai daya saing sesebuah universiti. Hakikatnya ialah sejauhmanakah kebolehpasaran kerja di kalangan graduan yang dihasilkan? ”UMS sebagai satu-satunya universiti yang berpusat di Sabah pasti mendapat ruang yang cukup luas untuk menerima manfaat dari perkembangan ekonomi negeri yang kian pesat di bawah teraju cemerlang Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Pada jangka masa yang panjang, negeri ini bakal disajikan dengan pelbagai manfaat langsung yang disajikan oleh Projek SDC atau pembangunan koridor ekonomi negeri Sabah. Adalah diyakini bahawa peluang-peluang kerja, yakni yang lahir dari projek itu serta pembangunan ekonomi berterusan oleh pihak kerajaan akan membuka lebih banyak peluang kerja kepada graduan UMS.” Itu ulasan lanjut Abdullah berhubung dengan peluang yang bakal menanti graduan UMS.

Sumber manusia adalah elemen penting dalam menentukan kecemerlangan organisasi. Manusia itu sifatnya adalah pelbagai dan tidak mudah diramal. Pendekatan yang digunakan perlu mengambilkira aspek emosi dan psikologi. Menyedari keadaan ini, maka Abdullah lebih suka bersifat rendah diri tetapi tegas dalam pentadbirannya. Sikapnya ini dan perawakannya yang mudah didekati telah menyebabkan beliau terus mendapat penghormatan dari kakitangan UMS. Malah beliau juga kian dikenali oleh pimpinan dan masyarakat.

Universiti Malaysia Sabah amat berbangga apabila beliau mendapat anugerah Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K) bersempena dengan Hari Ulangtahun Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah tahun ini. Beliau berupaya menjadi salah seorang daripada watak penting dalam pembentukan kredibiliti kakitangan UMS yang komited kepada tugas dan tanggungjawab mempastikan Universiti kebanggaan rakyat Malaysia yang berpusat di negeri ini terus menjadi entiti penting melahirkan anak watan yang perkasa minda dan teguh jati dirinya. "Syabas Tuan AB (Abdullah)! Selamat Maju Jaya. “

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION