BAKTI SISWA MENJAYAKAN SLOGAN 1MALAYSIA

New Sabah Times, ms.9 , 25 Jun 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

Slogan 1Malaysia, “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan,” merupakan suatu slogan yang berteraskan kepada usaha meningkatkan kesedaran bahawa segenap lapisan rakyat di Negara ini perlu hidup saling hormat menghormati dan berusaha memelihara keharmonian hidup rakyat Malaysia yang unik yang terhasil daripada perpaduan rakyatnya yang berbilang kaum, berbeza agama dan kepercayaan, serta kepelbagaian latar belakang hidup sosio, adat dan budaya. Slogan ini juga menekankan prinsip bahawa rakyat itu adalah tunjang kepada kestabilan Negara. Samada rakyat itu dikategorikan sebagai hidup mewah, sederhana dan dibawah paras kemiskinan, setiap kelompok itu sebenarnya mempunyai satu kekuatan yang sama. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan kejayaan sesuatu halatuju yang ingin dicapai oleh kerajaan. Malah, sebelum itu, merekalah juga yang menentukan pemerintah sesebuah Negara. Di samping itu melalui komitmen mereka jugalah yang dapat menentukan samada sesuatu pencapaian itu dapat direalisasikan atau pun tidak.

Begitu besarnya peranan rakyat sehinggakan slogan yang telah diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-Enam ini, tiba pada masa yang tepat, iaitu pada ketika seluruh Negara di dunia sedang dicabar dengan gelombang deras globalisasi, liberalisasi, teknologi, perubahan cuaca dunia dan sebagainya. Dalam hubungan ini, maka slogan seumpama ini wajar difahami dengan jelas oleh kalangan mahasiswa mahasiswi selaku modal insan dan pemimpin Negara di masa hadapan. Proses pembelajaran perlu diterapkan dengan mengaplikasikan promosi atau kempen yang berunsur positif demi kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya.

Sehubungan itu, pada 5 hingga 7 Jun yang lalu, Sekolah Perniagaan Ekonomi yang diketuai oleh Dekannya, Prof Madya Dr Kasim Hj Md Mansor, telah bersama-sama dengan 28 orang mahasiswa mahasiswi UMS melakukan program bakti siswa dengan melakukan kaji selidik mengenai kehidupan masyarakat di Pulau Bangi dan Pulau Balambangan, Kudat. Selain itu, program khidmat masyarakat turut diadakan. Rombongan ini telah disertai oleh dua orang pensyarah UMS, iaitu Ustaz Sarip Adul dari Pusat Penataraan Ilmu dan Bahasa, dan En Budikasuma dari Sekolah Sains Sosial. Selain memenuhi cuti semester yang panjang, program ini diadakan bagi membolehkan mahasiswa mahasiswi UMS dapat menjalani sendiri kehidupan masyarakat yang tinggal jauh dari tanah besar, yakni di pulau-pulau di kawasan luar bandar. Harapannya ialah agar modal insan ini lebih mengenali kehidupan masyarakat yang sebenar. Sekaligus, akan membolehkan mereka, benar-benar memahami konsep 1Malaysia.

Menurut Prof Madya Dr Kassim, program ini turut diselitkan dengan sesi bertukar-tukar fikiran dengan pemimpin masyarakat kampung khususnya dengan JKKK, Imam dan ketua-ketua kampung. Para pelajar juga melakukan lawatan dari rumah ke rumah bagi melengkapkan kajiselidik yang ditugaskan kepada mereka. Antara isi kandungan kajian yang dijalankan ialah mengenai kehidupan masyarakat pulau yang sebahagian besarnya hidup di bawah paras kemiskinan. “Melalui program seumpama ini, para pelajar akan lebih menghayati maksud kemiskinan itu sendiri. Selain itu, mereka akan dengan sendirinya terdorong untuk memikirkan bagaimana pula mereka memainkan peranan untuk membantu kehidupan rakyat yang berada di bawah paras kemisikian itu. Ini akan menguatkan lagi azam mereka untuk benar-benar dapat menguasai pembelajaran yang mereka perolehi selama ini melalui bilik-bilik kuliah.” Jelas Dr. Kasim lagi.

Berdasarkan kepada lawatan yang dibuat adalah didapati bahawa kehidupan masyarakat di Pulau Bangi masih seperti beberapa tahun yang lalu. Semuanya ini mungkin disebabkan oleh faktor lokasinya yang terpisah dari tanah besar Kudat. Rata-rata di rumah-rumah yang terdapat di Pulau ini, punca kuasa letrik adalah dari sistem solar dan bekalan air adalah diperolehi daripada tadahan air hujan dan perigi. Masih terdapat rumah-rumah yang berasingan dapurnya. Kelihatan beberapa buah rumah yang masih berdinding atau berbumbungkan nipah. Di luar rumah-rumah itu pula terdapat dapur yang dilengkapi dengan dua batang besi panjang tempat meletak periuk untuk memasak nasi, lauk dan air. Terdapat juga rumah-rumah kecil dengan jumlah ahli keluarga yang ramai dan sangat padat untuk diduduki. Semuanya ini sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat di pulau ini. Mungkin keadaan sedemikian memang sudah sebati dengan seluruh masyarakat yang berada jauh di pulau-pulau di negera ini.

Hakikatnya, hanya masa yang dapat menentukan bagaimana kedaifan masyarakat ini dapat diatasi sepenuhnya. Kerajaan telah berusaha dan akan terus berusaha mempastikan agar masalah kehidupan rakyat yang seperti ini dapat diperbaiki. Rakyat di pulau memang selesa dengan cara hidup mereka. Selain terhindar daripada bebanan hutang seperti kad kredit dan sebagainya sepertimana yang dialami oleh orang-orang kaya dan sederhana di bandar, penduduk di luar bandar, khususnya di kawasan pulau tidak dibebani dengan masalah sedemikian. Setiap ketua keluarga mampu memberi makan anak-anaknya. Namun, perkara penting yang perlu difikirkan ialah sejauhmana anak-anak akan terus mewarisi hidup sedemikian.

Atas persoalan ini jugalah, maka peranan mahasiswa dan mahasiswi untuk menghebahkan peri pentingnya kemajuan dalam kehidupan yang berteraskan ilmu perlu dilaksanakan. Usaha Sekolah Perniagaan dan Ekonomi yang dipimpin oleh Prof Madya Dr Hj Kasim Md Mansur dan beberapa Sekolah di UMS lainnya, perlu diteruskan bagi mempastikan UMS bukan sahaja berdiri megah di Bandaraya Kota Kinabalu. Malah, menerusi peranan mahasiswa dan mahasiswinya, ia juga melangkau lautan, semata-mata untuk mengembangkan ilmu pendidikan. Setidak-tidaknya 28 orang mahasiswa mahasiswi yang berkunjung ke Pulau Bangi itu akan menjadi idola kepada anak-anak pulau untuk mereka pula menyusul ke UMS suatu hari kelak.

Pastinya slogan 1Malaysia itu tidak meletakkan tugas dan tanggungjawab di atas bahu pemimpin sahaja. Semua peringkat, tidak kira samada dari pimpinan organisasi, masyarakat umum dan mahasiswa mahasiswi adalah tergolong dalam kumpulan pelaksana yang menjayakan matlamat 1Malaysia. Dengan yang demikian, barulah usaha mendahulukan kebajikan dan keselesaan hidup rakyat dapat dilakukan. Serentak dengan itu, kualiti dan komitmen mencapai sesuatu halatuju turut dapat difahami dengan lebih jelas dan mudah untuk diperkasakan. Mahasiswa mahasiswi adalah aset bernilai Negara. Di tangan merekalah kelak Negara ini akan ditentukan nasibnya. Justeru, dengan mengajak mereka ke kawasan luar bandar, seperti di Pulau Bangi ini, akan dapat menerbitkan azam yang kuat di hati mereka untuk menjadikan pengalaman bersama masyarakat pulau itu sebagai suatu pengalaman yang berupa cabaran kepada mereka. Kelak, mereka bukan sahaja terdorong untuk meningkatkan pembelajaran, bahkan mereka akan menjadi lebih serius untuk memanfaatkan ilmu yang dipelajari.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION