Ucapan NC, 1Solo Puncak Kinabalu 31 Dis 2009

Bismillahir Rahmannir Rahim
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Salam 1Malaysia

(Salutasi)

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada YB Datuk Saifudin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dan YB Datuk Bolkiah Hj Ismail, Pembantu Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, di atas kesudian hadir menyerikan lagi Majlis Perasmian PEndakian Solo 1Malaysia bertempat di kaki gunung kinabalu yang tinggi tersergam indah ini. Kepada saudara Mohd Noor Mat Amin, pendaki yang tidak asing lagi, saya mengucapkan setinggi terima kasih kerana sudi membawa bersama UMS mendaki puncak Kinabalu.

Mendaki dan menuruni gunung kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari adalah suatu tindakan yang berani dan memang sukar untuk dilakukan. Apatah lagi bagi seorang dewasa yang telah pun berada pada lewat usia belia. Saya percaya ini bukan suatu tugas yang mudah. Tetapi dalam tempoh 111 hari akan datang, ianya bukan lagi retorik semata-mata. Cita-cita bukan lagi impian atau mimpi. Semoga saudara Mohd Noor mendapat kekuatan daripada yang Maha Esa untuk menamatkan cabaran ini kelak dengan jaya dan bangga.

YB Datuk-Datuk, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
UMS merupakan sebuah institusi pengajian tinggi berpusat di Sabah yang sentiasa aktif dan peka kepada program-program yang menonjolkan ketinggian semangat dan iltizam rakyat Malaysia. Antara lain, program seperti ini akan menjadi pendorong kepada mahasiswa mahasiswi kita untuk sentiasa menyemarakkan kesungguhan mencapai cita-cita yang telah ditanam sejak melangkah masuk ke universiti. Pada masa yang sama kita mahu mahasiswa kita mengenali dan mempelajari dengan lebih dekat mengenai erti kesungguhan dalam memenuhi suatu komitmen.

Selain itu, UMS juga terlibat dalam menjalankan penyelidikan yang berkaitan dengan sesuatu program. Dalam program pendakian solo 1Malaysia ini, ahli akademik kita juga melakukan penyelidikan dalam aspek pemakanan dan kecergasan fizikal. Melalui kerjasama yang diberikan oleh pendaki kita ini, di akhir cabaran itu kelak, kita mampu menghasilkan suatu dapatan yang boleh dimanfaatkan bersama.

YB Datuk-Datuk, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini. Tanpa komitmen tuan-tuan dan puan-puan, memang sukar untuk menjayakan program-program seperti ini. Untuk itu, saya ingin menghadiahkan serangkap pantun yang berbunyi;

Tinggi-tinggi gunung kinabalu
Tinggi lagi sayang pada kamu
Hari ini pasti berlalu
Namun jasa dan bakti dikenang selalu

Kepada YB Datuk Saifudin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, saya bagi pihak warga UMS akan sentiasa berusaha mempastikan UMS terus maju ke hadapan, menggagahi tekad, mengota harapan.

Kepada para tetamu kehormat yang turut hadir, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kerana bersusah payah berada bersama-sama kami di Majlis ini.

Sekian, wassalammualaikum wbt.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION