KOTA INDAH, KOTA ILMU

{ New Sabah Times, m/s 7, 24 Ogos 2008 }
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

Majlis Perarakan Graduan Berjubah Universiti Malaysia Sabah dengan tema ”Kota Ilmu Penjana Warga Cemerlang” diadakan buat kali yang kedua pada tahun ini iaitu pada 21 Ogos 2008. Perarakan bermula dari Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, dan seterusnya melalui Jalan Pantai menuju ke perkarangan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu. Perarakan ini diadakan bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga bandaraya (town) dan juga warga universiti atau berjubah (gown). Selaku Mayor Bandaraya Kota Kinabalu DBKK, YBhg Datuk Iliyas Ibrahim, akan menyambut rombongan ini dan seterusnya menyempurnakan acara penyerahan Kunci Bandaraya kepada semua wakil graduan UMS yang menerima ijazah sarjana muda mereka pada Majlis Konvokesyen UMS dari 23 hingga 25 Ogos 2008.

Konsep perarakan Majlis adalah sepertimana yang biasanya dilakukan semasa sidang konvokesyen. Aktiviti ini akan memberi peluang kepada masyarakat Sabah khususnya dan pelawat luar negeri Sabah dan pelancong asing untuk menyaksikan sendiri mengenai perarakan yang biasanya hanya dapat dipertontonkan dalam dewan bertutup yakni di Dewan Canselor. Masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu dan dari luar Kota Kinabalu pastinya berasa amat beruntung kerana berkesempatan menyaksikan suatu perarakan yang mungkin tidak pernah mereka tontoni selama ini. Melihat perarakan universiti di tengah-tengah Bandaraya Kota Kinabalu pastinya dapat menyingkap kembali tirai nostalgia sewaktu melalui konvokesyen di universiti dahulu dan sekaligus boleh merangsang kembali jiwa untuk bertekad ingin terus maju dengan mula membudayakan kembali pembelajaran sepanjang hayat. Disamping itu, perarakan berjubah ini sudah pasti merapatkan lagi hubungan silaraturrahim masyarakat Bandaraya dengan komuniti UMS.

Di Malaysia, DBKK dan UMS merupakan satu-satunya Dewan Bandaraya dan Universiti yang secara bersama mengadakannya sejak tahun lalu. Universiti Malaysia Sabah merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak YBhg Datuk Iliyas Ibrahim, Mayor Bandaraya, atas komitmen berterusan DBKK menjayakan Majlis tersebut. Kelangsungan Majlis tersebut telah membolehkan Graduan Universiti Malaysia Sabah berasa amat berbangga berada di Kota Kinabalu, bandaraya yang bersih, nyaman dan indah ini. Kelangsungan acara ini, tidak syak lagi menjadi satu simbol penerimaan pihak bandaraya terhadap populasi pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam negara khasnya UMS, yang kampus induknya terletak dalam Bandaraya Kota Kinabalu.

Selain itu, ianya juga berupaya menambah satu lagi suasana kemeriahan bagi Bandaraya Kota Kinabalu sekaligus mengiringi usaha-usaha kita bersama mengindahkan lagi Bandaraya Kota Kinabalu sebagai salah satu destinasi popular di Malaysia di kalangan para pelancong dari dalam dan luar negara. Menjadi lebih manis lagi, Majlis Perarakan Berjubah Graduan ini memaparkan citra akademik dan intelektual, yang diharap dapat memekarkan perasaan dan dorongan ingin maju di kalangan orang ramai, sekaligus memperkaya pengisian dan manifestasi mengimpikan kejayaan. Secara langsung ianya diharap dapat menguja serta memekarkan perasaan dan dorongan ingin maju di kalangan orang ramai. Sekaligus ini akan memperkaya pengisian dan manifestasi mengimpikan kejayaan, seperti mana tema Hari Kemerdekaan ke-51 negara kita, ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ yang bakal disambut beberapa hari sahaja lagi.

Sesuai dengan tema hari Kebangsaan ‘Perpaduan Teras Kejayaan,’ mesej itu turut terpancar dalam Majlis Perarakan Berjubah Graduan yang dilangsungkan. Di sebalik tujuan acara ini diadakan, UMS juga ingin turut sama memberi penghormatan kepada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu atas kecemerlangan tadbir-urus prasarana Bandaraya di bawah pentadbiran YBhg Datuk Mayor. Kecekapan tadbir-urus itu sebenarnya turut mempermudahkan lagi pengurusan Kota Ilmu, yakni Universiti Malaysia Sabah.

Di kebanyakan universiti-universiti terunggul termasuk di negara-negara Barat dan di Jepun misalnya, perarakan ‘Town & Gown’ merupakan suatu acara perarakan dimana serombongan yang terdiri daripada ahli-ahli akademik dan wakil pelajar akan memakai jubah universiti dan berarak di bandaraya dan kemudiannya akan disambut oleh Mayor bandaraya. Seterusnya Mayor bandaraya akan menyerahkan kunci kepada setiap wakil pelajar. Ianya merupakan acara untuk menyemai semangat kekitaan, kerjasama dan persahabatan antara masyarakat dan universiti, khususnya mahasiswa/graduan, dan pihak berkuasa bandaraya.

Dalam rangka inilah, maka pada tahun lepas tema ”Kerjasama, Kolaborasi dan Komunikasi” telah dipilih khas untuk menjadikan majlis ini suatu tradisi yang gemilang. Pada tahun ini, hasrat dan dimensinya diperkembangkan lagi dengan pemilihan ungkapan ”Kota Ilmu Penjana Warga Cemerlang”. Tema ini sangat bertepatan dengan peranan penting kedua-dua institusi (DBKK dan UMS) sebagai tonggak wawasan yang menjurus kepada gagasan memajukan semua lapisan masyarakat, menerusi pemantapan modal insan di tengah-tengah kancah kehidupan sejagat.Turut serta dalam perarakan tersebut ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Pegawai-Pegawai Utama, Dekan dan Pengarah serta Ahli-ahli Senat. Ianya juga disertai oleh 64 wakil graduan bagi setiap program pengajian yang ditawarkan di UMS. Ini telah melambangkan kepelbagaian displin melalui program-program yang ditawarkan di UMS. Keunikan perarakan diserlahkan lagi dengan iringan 150 anggota PALAPES, SUKSIS, PALAPES UDARA serta Brass Band jemputan, UMS.

Melalui sorotan sejarah, hasrat untuk membangun sebuah universiti di negeri Sabah ini terlaksana pada 24 November 1994, iaitu apabila Parlimen meluluskan penubuhan Universiti Malaysia Sabah. Pada mulanya hanya tiga buah sekolah ditubuhkan iaitu Sekolah Sains dan Teknologi, Sekolah Pemiagaan dan Ekonomi, dan Sekolah Sains Sosial, bersama satu entiti pengajian yang dinamakan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa. Ketika sesi akademik yang pertama dimulakan pada pertengahan tahun 1995, terdapat seramai 205 orang mahasiswa yang berdaftar. Bilangan tenaga pengajarnya adalah seramai 24 orang dan pentadbiran diuruskan oleh 13 orang pegawai yang dibantu oleh 26 orang kakitangan sokongan. Masa pantas berubah, perkembangan dan pembangunan telah dicapai dengan pesatnya.

Pada hari ini, sebanyak 13 buah Sekolah dengan jurusan dan pengkhususan masing-masing yang terdiri daripada Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial, Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan, Sekolah Perhutanan Tropika Antarabangsa, Sekolah Pengajian Seni, Sekolah Perubatan, dan Sekolah Pertanian Lestari telahpun diwujudkan.

Pada konvokesyen ke-10 tahun 2008 ini, Sekolah Perubatan akan mengeluarkan kumpulan graduannya yang pertama! Tahniah! Negeri Sabah melalui UMS telah mampu mengeluarkan para doktornya. Mengiringi sekolah-sekolah itu adalah 3 buah Institut Penyelidikan yang dikenali sebagai Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Institut Penyelidikan Bioteknologi, serta 7 buah pusat-pusat kajian lain telah juga ditubuhkan. Jumlah tenaga akademik melebihi 1,000 orang serta kapasiti pelajar juga telah bertambah kepada lebih 15,000 orang. Seramai 3,929 orang daripadanya akan mengikuti Majlis Konvokesyen ke-10 kali ini, dan graduan-graduan ini akan menerima ijazah mereka melalui lima sidang bermula dari 23 hingga 25 Ogos 2008. Inilah antara sumbangan UMS ke arah pembentukan Modal Insan berkualiti demi pembangunan negara kita yang tercinta!

Kepada wakil graduan yang hadir bersama dalam majlis itu, Profesor Datuk Dr Kamaruzaman Hj Ampon, Naib Canselor UMS telah berpesan agar graduan UMS melihat Bandaraya Kota Kinabalu sebagai suatu bandar yang telah memberi pengaruhnya yang tersendiri kepada pembangunan UMS. Justeru itu, DBKK dan UMS berpisah tiada. Sehati dan sejiwa membentuk dan memelihara Kota Indah, Kota Ilmu.

Pada masa yang sama aktiviti ini juga merupakan satu manifestasi UMS menyokong usaha kerajaan melalui peranan pihak DBKK dalam mempromosi Bandaraya Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan yang sering menyediakan produk yang unik, menarik dan pelbagai. Sepertimana pada tahun lalu, kejayaan penganjuran Majlis ini adalah disebabkan wujudnya suatu ikatan kesepakatan dan kesepaduan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung sejak dari mula lagi. Setiap pihak yang terlibat telah memberikan kerjasama yang terbaik dalam memastikan majlis berlangsung dengan cukup sistematik, kemas dan lancar.

Malah sambutan yang diberikan oleh masyarakat amat memberansangkan, sepertimana pada tahun lalu. Suatu pengalaman yang cukup menarik bagi masyarakat awam menyaksikan perarakan yang unik dan bersejarah yang akan diadakan pada setiap tahun. Justeru, permuafakatan yang ditonjolkan oleh UMS dan DBKK serta sokongan padu semua pihak (ahli jawatankuasa) wajar dijadikan contoh dalam usaha memperkasa Kota Indah, Kota Ilmu di laman Bandaraya Kota Kinabalu.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION