PARAGLIDING AKAN JADI DAYA TARIKAN PELANCONG DI RANAU

The New Sabah Times, ms.9 , 23 Mei 2009
JAKARIA DASAN, jakaria@ums.edu.my

Sebelum bertugas di Universiti Malaysia Sabah sebagai Ketua Bahagian Keselamatan, Kapten Haznain Ngamil pernah berkhidmat dalam Rejimen Infantri. Beliau pernah ditugaskan di Somalia pada tahun 1994 di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Pada masa lapang beliau dan rakan-rakan juruterbang paragliding akan mengadakan perjumpaan di Kg Lohan, Ranau, meluncur ke udara menggunakan paragliding. Cabaran sukan luncur udara ini, kadang-kadang mengimbau kembali kenangan beliau sewaktu bertugas dalam tentera dahulu. Walau pun cabaran dalam tentera lebih mencabar dan berisiko tinggi, dan tidaklah sepertimana yang dialami ketika meluncur di udara, namun sewaktu berlegar-legar di udara, beliau sempat mengenang kembali pengalaman beliau semasa berkhidmat dalam tentera dahulu. Khususnya ketika ditugaskan sebagai anggota pengaman di Somalia di bawah misi PBB.

Sebelum ini aktiviti lasak mereka ini adalah sekadar suatu aktiviti riadah sahaja. Lokasi mereka di Kg Dilek, Lohan, Ranau hanyalah merupakan sebuah perkampungan biasa dengan sebahagian besar para penduduknya menanam padi sebagai punca pendapatan yang utama. Terdapat sebatang sungai kecil yang mengalir dari bukit berhampiran yang merupakan bekas lombong tembaga Mamut. Namun, dengan perkembangan aktiviti sukan Kapten Haznain dan rakan-rakannya itu, maka ianya telah menarik perhatian Pegawai Daerah Ranau, En Siriman MF Basir. Justeru dengan usaha Kapten Haznain dan rakan-rakan beliau dan inisiatif Pegawai Daerah Ranau, maka akhirnya pelancaran Kg Dilek Lohan sebagai pusat paragliding yang pertama di Sabah telah dirasmikan oleh YB Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Pada 9 hingga 10 Mei 2009 Kg. Lohan dibanjiri oleh ribuan pelancong dari pelbagai pelusuk daerah di Sabah. Semua ini berlaku kerana mereka mahu melihat sendiri keunikan sukan ini. Malah ada dari kalangan mereka juga adalah peluncur-peluncur udara atau yang dikenali sebagai paragliding. Terdapat di kalangan mereka pelancong yang juga juruterbang (paraglider) dari Negara Brunei. Pelancaran Tapak Luncur Udara ini juga adalah serentak dengan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau. Dalam acara tersebut, lebih 30 juruterbang paragliding dari Sabah, Sarawak, Labuan, Semenanjung Malaysia dan dari Negara Brunei Darussalam telah berkampung di Ranau bagi menyertai Luncur Udara yang buat julung kalinya diadakan di Sabah.

Pelancaran acara Luncur Udara Kaamatan disempurnakan oleh Pegawai Daerah, En. Siriman MF Basir. Manakala, majlis penutupan dan pelancaran tapak paragliding disempurnakan oleh Menteri, YB Datuk Masidi Manjun. Dalam ucapannya, Datuk Masidi menyatakan yang beliau berasa bangga dengan usaha yang telah dilakukan oleh juruterbang dan Pejabat Daerah Ranau memperkenalkan dan seterusnya mempopularkan acara tersebut. Beliau juga mendapati bahawa paragliding adalah merupakan jenis sukan yang amat berpotensi untuk dikembangkan menjadi produk pelancongan yang mampu menarik minat para pelancong dari dalam dan luar negara ke Ranau khasnya dan Sabah Amnya.

Ranau yang terletak dalam kawasan tanah tingggi di lembah kaki Gunung Kinabalu sebenarnya memiliki keadaan cuaca dan tiupan angin yang amat sesuai untuk sukan tersebut. Kedudukan Ranau yang terletak 1500 kaki dari aras laut dan berhampiran dengan puncak Gunung Kinabalu menjadi penyebab kepada keadaan angin yang amat sesuai untuk luncur udara. Pada waktu-waktu tertentu, juruterbang boleh bermain di udara sehingga 1 hingga 2 jam sehingga naik ke paras mencecah awan. Sesungguhnya pengalaman sedemikian adalah yang dicari oleh peluncur paragliding. Justeru, YB Menteri menyatakan bahawa Kementerian beliau akan mengenalpasti sukan luncur udara ini sebagai suatu sukan pelancongan yang akan diberikan tumpuan sewajarnya sepertimana yang diberikan kepada sukan Kinabalu International Climbathon contohnya. Beliau menaruh keyakinan bahawa adalah tidak mustahil pada masa akan datang, paragliding berupaya menjadi program khusus sepertimana sukan climbathon, sekiranya ia dirancang dengan baik dan dipromosi dengan lebih teratur YB Datuk Masidi mengatakan bahawa kawasan sekitar Kg. Lohan akan dimajukan selain dari Kompleks sukan berhampiran yang sedang dalam projek pembinaan iaitu di Bukit Lohan Ulu, Kg. Lohan, Ranau. Juruterbang-juruterbang sukan luncur udara ini mendapati bahawa kompleks sukan di kawasan bukit ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan yang akan menjadikannya sebagai lokasi pilihan utama para juruterbang di seluruh Malaysia.

Di antara keistimewaan yang ada ialah apabila juruterbang berlepas dari salah satu bukit iaitu Bukit Paulian, mereka akan disajikan dengan suatu pemandangan kawasan yang sangat indah. Juruterbang dapat menikmati pemandangan mempesona Kg. Lohan di lembah bukit, pemandangan sawah padi dan sungai yang terus mengalirkan air. Lebih menarik lagi, puncak berbatu Gunung Kinabalu juga dapat dilihat dari sini. Selain itu, para juruterbang mempunyai tiga buah lokasi tempat berlepas. Berdasarkan tinjauan yang telah dibuat terdapat beberapa lagi lokasi lain untuk dikenalpasti dan diusahakan sebagai tapak penerbangan yang sesuai. Ini termasuklah di kawasan puncak bekas lombong tembaga Mamut yang mempunyai ketinggian melebihi 3000 kaki. Ciri ketinggian tempat berlepas membolehkan juruterbang benar-benar dapat menikmati keseronokan meluncur di udara dengan menyaksikan persekitaran yang indah. Selain dari kenderaan boleh sampai di tempat berlepas, bukit Lohan Ulu (salah sebuah bukit) juga mempunyai kawasan yang cukup luas untuk latihan terutama bagi juruterbang-juruterbang baru. Pendekkata, semua faktor ini menjadikan Kg. Lohan boleh memberikan pakej yang hampir sempurna bagi penggemar sukan luncur udara.

Ketika ditanya, Kapten Haznain mengatakan bahawa lokasi paragliding di Kg. Lohan sebenarnya mula dijumpai oleh seorang juruterbang tempatan iaitu En Jesteni Salim. Beliau yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Ranau mula meneroka tempat tersebut dan telah mengajak dua orang rakannya iaitu Haznain dan En. Asmawi Hassan dari Sandakan. Merekalah yang bertanggungjawab mempelopori sukan ini sehinggalah ianya dapat menarik perhatian ramai penggemar sukan ini.

Bagi memastikan sukan ini berkembang, maka Kelab Luncur Udara Kinabalu telah ditubuhkan. Yang Mulia Datuk Seri Tengku Adlin, Pengerusi Perbadanan Pelancongan Sabah, telah dilantik sebagai Presiden. Manakala, Kapten Haznain Ngamil dilantik sebagai Naib Presiden. Tengku Adlin ketika ditemuramah menyatakan rasa bangga beliau di atas kesungguhan penggerak sukan ini dan usaha Pejabat Daerah Ranau dalam merealisasikan pelancaran tapak Luncur Udara ini yang disempurnakan oleh YB Datuk Masidi. Beliau yakin bahawa sukan paragliding adalah salah satu produk terbaru bagi mempopularkan lagi Negeri Sabah amnya dan daerah Ranau khasnya.

Beliau yakin bahawa sukan lasak ini merupakan produk yang amat berharga dan mampu menjadi salah satu daripada daya tarikan utama penggiat sukat ini di peringkat antarabangsa. Perbadanan Pelancongan Sabah akan memberikan sokongan yang penuh agar sukan lasak ini dapat terus berkembang maju. Dalam acara tersebut, Tengku Adlin turut membuat penerbangan sulung beliau dengan dipandu oleh juruterbang mahir dalam salah satu sesi demontrasi penerbangan.

Menurut Pengerusi Penganjur, En Jesteni Salim, acara ini adalah merupakan suatu permulaan untuk penganjuran yang lebih besar di masa akan datang. Jesteni merupakan satu-satunya juruterbang paragliding di Ranau. Menerusi Kelab Luncur Udara Kinabalu, beliau yakin bahawa sukan ini akan menjadi popular dalam masa terdekat. Pendedahan mengenai aspek keselamatan yang terjamin sewaktu berada di udara akan menjadi strategi utama dalam mendapatkan lebih ramai penggiat sukan ini. Kapten Haznain Ngamil menjelaskan bahawa majlis pelancaran yang diadakan serentak dengan sambutan perayaan pesta kaamatan adalah tepat pada masanya untuk diwar-warkan kepada rakyat negeri ini khususnya. Ini juga bagi menggalakkan orang ramai untuk turut sama menceburi sukan ini. Selama ini orang ramai menyangka yang sukan ini hanya untuk golongan tertentu dan risk-taker sahaja. Justeru, Kelab Luncur Udara Kinabalu akan menyusun atur dan melaksanakan pelbagai program bersepadu dengan Pejabat Daerah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, serta Perbandanan Pelancongan Sabah.

Dalam perkembangan lain, Ketua Kampung Kg. Dilek, Lohan iaitu En. Anthony menyatakan yang perkembangan sukan luncur udara seperti suatu rahmat kepada para penduduk kampung. Dimana secara langsung, ia akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi penduduk kampung. Selain bakal mewujudkan peluang-peluang untuk penduduk kampung meningkatkan hasil pendapatan, pelancaran tapak luncur udara ini juga akan membawa pelbagai bentuk pembangunan yang berkaitan.

Apa yang menarik dalam acara yang diadakan ialah bilamana terdapat dua juruterbang wanita. Salah seorang daripada mereka ialah guru di SM Teknik Tawau. Setakat yang diketahui, beliau telah pun mencipta nama sebagai satu-satuya juruterbang paragliding wanita di Sabah. Seorang lagi juruterbang wanita yang melibatkan diri dalam penerbangan yang diadakan pada acara tersebut adalah Puan Siti Khatijah dari Negara Brunei Darussalam. Ibu Siti Khatijah, merupakan seorang ibu kepada 6 orang anak. Beliau adalah seorang juruterbang yang aktif dan pernah terbang di beberapa buah negara bersama-sama dengan suaminya yang juga merupakan pencinta sukan ini.

Selain dari acara terbang bebas, terdapat beberapa aktiviti dan acara yang dijalankan dalam luncur udara ini, antaranya adalah pertandingan mendarat tepat. Dalam acara itu, Christopher Lamert telah dinobatkan sebagai juara, diikuti Kapten Haznain di tempat kedua dan Jesteni di tempat ketiga. Sesungguhnya kehadiran 32 juruterbang pada hari tersebut merupakan suatu permulaan yang baik untuk sejarah luncur udara di Sabah. Para Juruterbang yang mengambil bahagian adalah dari Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei, dan Negeri Sembilan. Juruterbang paling veteran berumur 56 tahun dari Sarawak, manakala yang paling muda berumur 18 tahun dari Negara Brunei.

Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan khazanah semulajadinya, pasti akan mendapat manafaat dengan wujudnya tapak luncur udara ini. Semua pihak berwajib perlu memberikan perhatian yang istimewa dalam membangun sukan pelancongan ini. Kelab Luncur Udara Kinabalu adalah pelopor yang wajar dijadikan penggerak sukan ini. Sehubungan itu, orang ramai adalah digalakkan untuk lebih mengenali keunikan dan keseronokan yang disajikan oleh sukan ini. Mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan Kapten Haznain Ngamil di nombor 019-8608700 atau berjumpa dengan beliau di Pejabat Bahagian Keselamatan, Universiti Malaysia Sabah.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION