18 Ogos,2005 Pendekatan Komprehensif Perlu Dipertahan Jamin Keharmonian Kaum Oleh: Arshad Hussin

KOTA KINABALU: Pendekatan komprehensif yang diamalkan negara ini menangani pelbagai konflik perlu dijadikan tradisi dan dipertahankan bagi menjamin kestabilan, keharmonian kaum serta keamanan hidup rakyat keseluruhannya.



Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman,berkata selaras dengan penekanan konsep Islam hadhari kearah kehidupan berkualiti isu konflik ini amat penting difahami bersungguh-sungguh supaya seluruh rakyat sama-sama hidup dalam keadaan harmoni dengan melihat dalam diri,masyarakat dan persekitaran.



Datuk Musa, berkata konflik merupakan fenomena biasa dalam diri, masyarakat dan di antara negeri atau negara dimana kewujudannya berkait rapat dengan kemampuan,persaingan dan kepentingan dimana ketidakselarian ini menjadikan individu terpisah dan akhirnya bertembung dengan situasi yang dinamakan konflik.



Katanya, semua manusia mempunyai kehendak tersendiri, masyarakat berjuang untuk kepentingan kelompoknya tetapi, kita perlu mengharmonikan konflik ini untuk saling kuat menguatkan antara satu sama lain.



“ Tidak salah kita berusaha bersungguh-sungguh namun kita tidak boleh mengadaptasikan elemen negatif dalam tindakan kita kerana inilah hak kemanusiaan,adab hidup bermasyarakat dan akhlak pekerti mulia menjadi asas kemajuan bersama negara selama ini,” kata Musa.



Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya disampaikan Menteri DiJabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran sempena Bengkel Pengurusan Konflik Menurut Perspektif Islam di Universiti Malaysia Sabah.



Bengkel selama dua hari bermula hari ini itu disertai pelajar-pelajar UMS, orang awam,swasta,kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan dan di anjur Pusat Perundingan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPLI) dengan kerjasama Unit Psikologi Kaunseling dan Kesihatan Sosial UMS bertujuan mengupas konsep pengurusan konflik menurut lunas-lunas Islam sebagai agama yang syumul atau komprehensif.



Sempena bengkel itu sebanyak lima kertaskerja dibincangkan termasuklah `Progressive Muslim in Islam Hadhari Framework’ oleh: Dr.Syed Ali Tawfik Al-Attas; `Pengurusan Konflik Untuk Kesihatan Diri dan Keluarga disampaikan Dr. Harlina Harlizah Siraj dari Pakar Bidan dan Sakit Puan HUKM; `Pembentukan Jati Diri Bagi Menangani Konflik’ oleh Nor Azaruddin Husni Nuruddin; `Regeliuos Harmoni’ disampaikan Al-Fadhil Abu Huraira Abdurrahman (Pegawai Dakwah USIA ) dan `Pengurusan Konflik Menurut Perspektif Islam’ oleh Sahibus Samahah Dato’ As-Sheikh Haji Nooh Haji Gadot (Mufti Kerajaan Negeri Johor) serta sessi soal selidik.



Antara lain objektif bengkel itu memberikan pendedahan kepada peserta tentang konflik-konflik semasa yang dihadapi oleh umat Islam dan cara-cara menanganinya,meningkatkan kesedaran dengan mendalam mengenai kaedah dan cara yang berkesan menyelesaikan sesuatu konflik dan berkongsi pengalaman tentang hal ehwal pengurusan konflik menurut kaca mata Islam.



Hadirsama dalam majlis itu Wakil Naib Cancelor UMS yang juga Timbalan Naib Cancelor UMS, Prof. Dr. Kamaruzaman Ampon, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Malaysia (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Fellow Kanan/ Pengarah Pusat Perundingan & Latihan IKIM, Nor Azaruddin Husni Haji Nurudin, Ketua Unit Penyelidikan Psikologi & Kesihatan Sosial UMS, Prof. Madya Dr.Rosnah Ismail, SUPA MJKM, Jakaria dasan dan SUS MJKM, Sham Solo Baharry Kairin.



Musa berkata, perkara umum yang sering disalah tafsir adalah dengan menjatuhkan pesaing dimana perkara ini tidak betul dalam semua segi kerana sekiranya pembangunan individu,masyarakat atau negara tidak dicanai dengan bijaksana dengan mengambil kira semua faktor boleh mengwujudkan ketidakseimbangan yang akan memberi kesan negatif kepada diri sendiri.



“ Kita perlu bijak mengurus kelemahan serta kekuatan yang dimiliki dan tidak semestinya kelemahan yang kita miliki membuat kita terus gagal kerana kejayaan seseorang itu bergantung kepada cara pengurusan kelebihan dan kekurangan diri,” kata Musa.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION