Selangkah Ke Menara Gading

Setelah 33 tahun merdeka menerusi Malaysia, negeri Sabah telah pun mempunyai sebuah universiti yang boleh dibanggakan yang telah melahirkan dan akan terus menghasilkan modal insan yang mampu menjadi sandaran negara untuk memimpin dan membina masa depan yang cerah. Universiti Malaysia Sabah (UMS), salah sebuah daripada 20 universiti awam di Malaysia merupakan universiti kebanggaan rakyat Malaysia khususnya bagi masyarakat yang berasal dari Sabah, negeri di bawah bayu.

Dua belas tahun dahulu, anak-anak negeri ini hanya akan dapat melangkah ke menara gading dengan berpisah jauh dari keluarga. Mereka kena samada “menyeberangi lautan” atau “membelah awan” semata-mata untuk meneruskan kecemerlangan yang diperolehi di bangku sekolah menengah. Pada saat perpisahan itu, maka berbondong-bondonglah ahli keluarga menghantar anak tercinta ke lapangan terbang atau jeti pelabuhan (kapal laut/Feri Malaysia). Lambaian perpisahan begitu berat dirasakan mengiringi pemergian anak atau ahli keluarga yang mungkin setahun sekali akan balik bercuti ke kampung. Itulah senario yang berlaku pada generasi 12 tahun yang lalu, yang tidak lagi begitu dirasai pada hari ini. UMS sudah pun mampu menawarkan pelbagai kursus yang boleh melahirkan graduan yang berilmu dan sentiasa bertekad cemerlang.

Dalam usaha mempastikan kewujudan UMS benar-benar dimanfaatkan khususnya oleh rakyat Malaysia yang tinggal di Sabah, maka Program “Selangkah ke Menara Gading” telah pun dilaksanakan sejak dua tahun yang lalu. Progam ini dianjurkan dengan kerjasama penuh Jabatan Pelajaran Sabah dimana ianya dianjurkan secara berperingkat melibatkan sekolah-sekolah menengah di seluruh negeri ini. Para pelajar dari beberapa buah sekolah menengah berlainan kawasan akan dihimpunkan dan tinggal selama 3 hari 2 malam di kampus UMS.

Sepanjang program tersebut mereka akan dibimbing oleh mahasiswa mahasiswi UMS dengan dorongan dan dokongan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS. Selain aktiviti-aktiviti seperti kenali UMS, para pelajar juga didedahkan dengan gerakkerja kepimpinan pelajar dan kemahiran berkaitan meningkatkan kaedah dan teknik pembelajaran yang lebih berkesan. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Amran Ahmed, menerangkan bahawa pada tahun 2007, sebanyak 30 buah sekolah akan terlibat sepanjang tahun dalam program ini. Bilangan pelajar yang dijangkakan adalah seramai 1,005 orang yang dibahagikan kepada lima fasa. Fasa I dilangsungkan pada 4 – 6 Mei, Fasa II pada 11 – 13 Mei, Fasa III pada 18 – 20 Mei, Fasa IV pada 25 – 27 Mei dan Fasa V pada 28 – 30 Mei. Kesemua program diadakan pada waktu cuti semester, dimana mahasiswa mahasiswi UMS melalui Majlis Perwakilan Pelajarnya telah memainkan peranan aktif dalam mengendalikan program berkenaan.

Majlis perasmian penutupan program Fasa 1, telah disempurnakan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UMS, pada 6 Mei 2007. Sebanyak enam buah sekolah terlibat iaitu SMK Beluran, SMK Datuk Panglima Abdullah Semporna, SMK Kudat, SMK Tambunan dan SMK Membakut II. Dalam ucapannya, Prof Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin telah menekankan tiga aspek atau mesej penting yang perlu diambil perhatian secara mendalam dan disematkan di hati setiap pelajar.

Mesej pertama yang disampaikan oleh beliau ialah agar para pelajar yang berpeluang mengikuti program berkenaan apabila balik ke sekolah dan rumah kelak, akan mempunyai keazaman yang lebih tinggi dan berkobar-kobar untuk belajar lebih gigih dan mencapai keputusan peperiksaan yang cemerlang agar kelak mampu melangkah masuk ke IPTA. Para pelajar perlu berjanji kepada diri mereka bahawa Selangkah ke Menara Gading adalah cabaran untuk mereka benar-benar berjaya melangkah masuk ke universiti pada masa akan datang. Semangat dan keazaman itu akan lebih kuat dan padu jika ‘janji’ itu disematkan dalam jiwa dan hati para pelajar. Janji itulah yang akan merealisasikan cita-cita mereka dan sudah tentu janji itu hanya akan berhasil jika diiringi dengan usaha. Dengan kata lain, bercita-cita hendaklah melebihi kata-kata.

Mesej kedua yang disampaikan beliau ada hubungkaitnya dengan masalah kepupusan kaum (pelajar) lelaki yang diterima masuk ke universiti. Peratus pelajar lelaki yang melanjutkan pengajian di UMS telah berkurangan kepada 42% pada sesi kemasukan yang lalu, berbanding dengan 58% pelajar perempuan. Fakta ini jika dilihat dalam konteks sosial dan kemasyarakatan secara keseluruhannya tentunya akan sedikit merisaukan dengan mengambilkira peranan lelaki itu sebagai ketua keluarga. Dengan jumlah kemasukan pelajar lelaki yang rendah berbanding dengan pelajar perempuan ini akhirnya akan melahirkan demografik tenaga kerja yang tidak seimbang antara lelaki dan perempuan. Dalam hubungan ini, sewaktu dibangku sekolah lagi kecenderungan ini wajar dilihat dan diambil perhatian. Tidak timbul isu bahawa lelaki sepatutnya lebih ramai atau sebaliknya. Apa yang cuba disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya ialah bahawa berlaku satu perubahan atau penurunan kesedaran di kalangan pelajar lelaki mengenai tuntutan mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran di peringkat sekolah berbanding dengan pelajar perempuan.

Aspek atau mesej ketiga yang beliau sarankan ialah agar para pelajar yang terlibat akan menjadi kumpulan pembimbing kepada rakan-rakan mereka yang tidak berpeluang mengikuti program berkenaan di UMS. Mereka hendaklah menceritakan kepara rakan-rakan mereka segala pengalaman yang ditimba. Semoga dengan demikian, azam akan dapat diperkuatkan, usaha akan terus dipertingkatkan, dan doa kepada yang Maha Esa mendapat makbulNya jua.

“Walaupun anda berada selama tiga hari dan dua malam di kampus UMS atas pilihan guru sekolah anda yang mana anda lebih bernasib baik dari rakan-rakan yang tidak terpilih, tetapi anda semua dan rakan-rakan anda itu mempunyai sekurang-kurangnya 1,095 hari untuk berada di sini atas pilihan anda sendiri, iaitu jika anda lulus peperiksaan dengan cemerlang dan seterusnya diterima untuk melengkapkan pengajian selama tiga hingga empat tahun di UMS atau dimana sahaja universiti yang anda pilih.” Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.

Selangkah ke Menara Gading juga merupakan satu mekanisma untuk memperbetulkan halatuju para pelajar di bangku sekolah. Dengan mengetahui lebih mendalam mengenai bidang-bidang yang ditawarkan, ianya berupaya membentuk fokus para pelajar untuk memilih kerjaya yang sesuai dimasa hadapan. Kadangkala apabila ditanya, para pelajar lebih cenderung untuk memilih secara rambang kerjaya yang bakal mereka pilih pada masa hadapan tanpa mengetahui informasi yang betul mengenai kriteria atau bidang yang perlu dimiliki atau dilalui oleh seseorang pelajar itu semasa berada di universiti kelak. Maka melalui program seumpama inilah, para pelajar akan dapat mengumpul informasi yang tepat, dan ini secara langsung akan meningkatkan kefahaman mereka dalam setiap sabjek teras yang dipelajari semasa dibangku sekolah menengah lagi untuk layak mengikuti kursus-kursus di universiti kelak.

Dahulu, iaitu sebelum tahun 1994, si anak akan berpisah dengan ibu dan bapa serta adik beradik lainnya untuk mengejar impian mencapai cita-cita di IPTA di seberang Laut China Selatan, Semenanjung Malaysia. Bagi yang bernasib baik akan berpeluang melanjutkan pengajian hingga jauh ke seberang lautan yang lebih luas (ke luar negara). Banyak kisah yang kita perolehi jika bertanya dengan sanak keluarga yang melalui pengalaman sedemikian. Dan pastinya ada sahaja cerita kesukaran yang ditempuh, baik dari segi kekangan kewangan, rintangan budaya dan halangan komunikasi yang lebih kerap dengan keluarga, yang sedikit sebanyak akan membantutkan usaha mengharungi pengajian dengan lebih cemerlang.

Setelah 12 tahun, UMS tertubuh di Sabah, anak-anak negeri ini khususnya, tidak lagi perlu berada jauh daripada keluarga untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti. Selain mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, para pelajar juga boleh bertemu dengan keluarga secara lebih kerap. Kelebihan ini akan menjadi ransangan untuk mencapai keputusan gred yang lebih baik. Pada masa yang sama, berlaku juga proses dimana anak-anak dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak turut berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di UMS.

Pada kesempatan itu mereka juga berpeluang untuk melawat ke segenap pelusuk tempat yang menarik yang hanya terdapat di negeri ini disamping mengenali dan memahami dengan lebih dekat keunikan adat dan budaya setempat serta suasana kehidupan masyarakat di Sabah. Apabila mereka balik ke tempat asal kelak samada di waktu cuti atau setelah tamat pengajian, maka akan berlakulah proses pemindahan maklumat yang tepat dan menarik kepada ahli keluarga, rakan dan masyarakat di tempat mereka. Ini akhirnya akan membawa kepada aktiviti pelancongan dalam negeri yang lebih kerap dan meriah. Dalam konteks sosial dan masyarakat, keadaan ini akan menyemarakkan lagi proses integrasi nasional.

Setelah sekian lama, berlaku ‘suatu ketidakseimbangan’ dari sudut ekonomi yang mana dahulunya rakyat negeri ini akan berbelanja lebih untuk menyambung pembelajaran anak-anak mereka ke IPTA di Semenanjung Malaysia, maka pada hari ini, ‘ketidakseimbangan’ itu telah pun dihapuskan. Anak-anak dari negeri di Semenanjung Malaysia, sejauh Perlis di Utara Semenanjung, Johor di Selatan, Terengganu di Timur dan Selangor di Barat, akan datang ke Sabah (UMS) yang secara langsung akan menyebabkan ayah, ibu, abang, kakak dan adik mereka berbelanja di Sabah, iaitu melalui penginapan, pengangkutan, membeli-belah dan sebagainya.

Selangkah ke Menara Gading adalah salah satu manifestasi akan sumbangan UMS kepada kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Melalui program ini maka pihak Kementerian akan melihat bahawa UMS bukan hanya berperanan sebagai menyediakan prasarana pendidikan di peringkat pengajian tinggi semata-mata, tetapi juga berusaha keras dalam mempastikan lebih ramai pelajar sekolah yang akan bertekad cemerlang dalam pembelajaran mereka untuk memasuki universiti. Selain itu, UMS juga komited dalam melaksanakan obligasi sosial bersama-sama kepimpinan di peringkat Negara, Negeri, Bahagian dan Daerah menggerakkan kempen melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.

Selalunya apabila seseorang pelajar itu ditanya mengenai cita-citanya, dia akan menjawab bahawa cita-citanya amat tinggi iaitu menjadi seorang Doktor umpamanya. Apabila ditanya kepada si ayah dan ibu, kebiasaannya mereka dengan rasa bangga akan berkata ‘ya’ bahawa jika anak kata cita-citanya adalah untuk menjadi seorang Doktor, maka si ayah dan ibu akan turut berkata bahawa anak mereka itu akan menjadi Doktor. Tetapi jika ditanya kepada guru si anak tadi, jawapannya ada dua kemungkinan iaitu ‘ya’ dan ‘tidak mungkin.’ Dengan maksud lain, ‘ya’ jika pelajar itu tadi memang cerdik dan rajin, manakala ‘tidak mungkin’ jika pelajar itu adalah seorang yang tidak cerdik dan agak malas mengulangkaji dan membuat latihan seperti kerja rumah. Apa yang cuba dibangkitkan ialah betapa pentingnya si ayah dan ibu bukan hanya melaksanakan tanggungjawab menghantar anak belajar di sekolah, tetapi sebaiknya mereka mengikuti perkembangan persekolahan anak-anak dengan menjadikan guru sebagai sumber rujukan yang kerap dan akrab.

Jakaria Dasan, New Sabah Times, 2007.

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment