BERITA Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi USIA sesi 2010/2012

16 April 2010. Universiti Malaysia Sabah. Ahli Majlis Tertinggi USIA yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi USIA sesi 2010/2012 kali yang pertama bertempat di Bilik Mesyuarat Eksekutif Anjung Siswa UMS. Ahli-ahli Jawatankuasa yang telah dilantik terdiri daripada Dr Hj Mohd Kasim Hj Ibrahim (Pegawai Pendidikan Daerah KK), Hj Mudin Betin (Jab Pendidikan Sabah), En Mohd Syum Abd Majid (RTM),Prof Madya Hjh Rosdianah Hj Sukardi (UiTM), Prof Madya Dr Hjh Arsiah Hj Bahron (UMS), Hj Kahar Mohd Zain, Hj Arifin Sani, Prof Madya Dr Jualang Azlan Gansau (UMS), Prof Madya Dr Jumat Sulaiman (UMS), Dr Ramzah Dambul (UMS), Jakaria Dasan (UMS), dan Datu Razali Datu Eranza (UMS/Setiausaha Jawatankuasa). Dalam ucapannya, Prof Madya Dr Hj Kasim menyatakan bahawa sebelum ini jawatankuasa itu dikenali sebagai Jawatankuasa Pendidikan USIA. Bagi memperluaskan lagi skop peranan yang boleh dilakukannya selaras dengan perkembangan pendidikan semasa, maka USIA Pusat telah menamakan Jawatankuasa ini dengan nama Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi USIA. "Sudah tiba masanya, Jawatankuasa ini bertindak sebagai antara pendukung utama USIA dalam menjayakan perjuangan USIA memartabat syiar Islam menerusi medium ilmu. Dalam hubungan ini, maka strategi mengupaya pendidikan anak-anak masyarakat Islam di Sabah itu perlu mencakupi peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi." Tambah Dr Kasim lagi, jawatankuasa ini akan mengenalpasti strategi yang berkesan dalam meningkatkan mutu pendidikan anak-anak masyarakat Islam di Sabah. "Kita mahu melihat agar anak-anak kita kelak memiliki dan menguasai sekurang-kurangnya tiga aspek penting dalam menempuh kehidupan globasasi masakini. Tiga elemen itu ialah kebijaksanaan dalam melontarkan idea melalui penulisan, kepetahan berhujah dengan kritis dan bersandarkan fakta, dan memiliki keilmuan dalam bidang matematik, sains dan teknologi."

Jawatankuasa ini juga akan mengenalpasti NGOs yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam meningkatkan bidang pendidikan di negeri ini. Penggemblingan usaha dalam menjayakan suatu tujuan yang sama adalah lebih berkesan dan perlu dialu-alukan. Justeru, Dr Kasim mengesyorkan kepada mana-mana organisasi NGOs yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama untuk untuk bersama dengan Jawatankuasa ini dalam pelaksanaan misi dan agenda memartabatkan ummah di negeri ini. Suatu bengkel khas bagi merangka blue print halatuju jawatankuasa dan strategi mencapainya akan diadakan dalam masa terdekat setelah perbincangan dengan USIA Pusat diadakan kelak. Objektifnya ialah bagi membolehkan Jawatankuasa ini bertindak lebih proaktif dan praktikal di masa hadapan.

Dua aspek pembangunan yang perlu diberikan tumpuan pada zaman mutakhir ini ialah pembangunan fizikal dan pembangunan sumber manusia (modal insan). Kedua-dua pembangunan ini saling berkait rapat dan saling memerlukan antara satu sama lain. Kita boleh membina institusi pengajian Islam, tetapi ianya hanya sia-sia jika kita tidak mampu menyediakan penuntut-penuntut yang berkaliber yang tahu memanfaatkan ilmu yang dipelajari bila keluar dari institusi tersebut. Justeru, antara lain jawatankuasa ini akan berperanan meningkatkan kesedaran umat Islam khususnya dalam kalangan belia dan beliawanisnya agar kembali menghayati tuntutan ilmu yang sebenarnya.


oleh Jakaria Dasan

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment