Hubungan Serumpun Sebangsa Malaysia-Indonesia

Terdapat dua zon biologi yang terpisah oleh terusan air (laut) yang amat dalam dan dikenali sebagai ‘Wallace Line’ yang wujud di antara Bali dan Lombok. Hanya sebahagian kecil sahaja spesies haiwan yang dapat menyeberanginya. Wallace Line menjadi begitu signifikan kerana ianya menunjukkan bahawa kumpulan spesies hidupan haiwannya adalah saling berbeza. Penemuan ini telah direkodkan oleh Alfred Russel Wallace, berbangsa Scotland, semasa pelayaran beliau merentasi lautan sehingga ke Kepulauan Borneo dan Indonesia pada akhir kurun ke 19. Beliau telah melakukan sebanyak 60 pelayaran sejauh 14,000 batu. Selain mengumpul 125,000 spesimen mamalia sehingga ke kumpulan serangga yang kecil, beliau juga merekodkan dalam pengembaraannya akan keunikan pelbagai masyarakat dari berlainan suku kaum dengan adat budaya masing-masing. Beliau juga turut mencatatkan akan keindahan flora dan fauna yang tidak terdapat di mana-mana rantau selain di Kepulauan Borneo dan Indonesia.

Lanjutan daripada pelayaran itu juga Arthur Russel Wallace telah menulis mengenai dua orang pembantu yang telah bersama-samanya, seorang bernama Ali (tidak dinyatakan bangsanya) berasal dari Kepulauan Borneo dan seorang lagi bernama Badroon, berbangsa Bugis dari Makassar. Mereka adalah di antara orang yang disebut oleh Wallace dalam tulisannya hingga berjayanya pelayaran beliau yang bersejarah itu. Sehinggakan hasil pengembaraan beliau dijadikan bahan rujukan kajian Charles Darwin berkaitan dengan evolusi ‘orang utan.’ [ The Malay Archipelago]

Kewujudan Wallace Line ini juga amat penting dalam menjelaskan dua sistem biologi mukabumi yang berbeza. Di sebelah Kepulauan Borneo, terdapat gunung merapi yang tidak aktif, manakala di nusantara Indonesia banyak terdapat gunung merapi yang masih memuntahkan lahar apinya. Malah kejadian gempa bumi yang sering terjadi di kepulauan Indonesia, dan tidak pernah berlaku di Kepulauan Borneo juga adalah aspek penting yang walau pun tidak ditulis oleh Arthur Russel Wallace, akan tetapi tidak boleh dibuktikan bahawa ianya tidak ada kaitan atau hubungkaitnya dengan Wallace Line.

Pada kesempatan berada di Makassar, Sulawesi Selatan, dari 9 hingga 12 September yang lalu didapati bahawa memang terdapat kelainan yang agak ketara dari aspek kehidupan masyarakat, rasa makanan yang disediakan malah pemandangan sekeliling yang unggul dengan kelebihannya yang unik dan tersendiri. Masyarakat di Makassar sebagai sebuah negeri di Kepulauan Indonesia sebenarnya adalah rumpun yang sama dengan masyarakat Malaysia. Walaupun kedudukan geografinya agak jauh dari Kuala Lumpur tetapi jika dibandingkan kedudukannya dengan negeri Sabah di Malaysia ianya adalah terletak pada zon yang agak sama. Perjalanan menaiki kapal terbang dari Jakarta ke Makassar mengambil masa selama 2 jam 15 minit dan perbezaan masa ialah satu jam, dimana masa di Makkasar adalah lewat sejam. Dahulunya antara Sabah dan Kuala Lumpur perkara sedemikian juga kita alami. Tetapi setelah mengambilkira perkara positif yang dapat dimanfaatkan, maka perbezaan masa antara Sabah dan Semenanjung telah diatasi.

10 September 2007 adalah satu hari yang cukup bersejarah dan boleh dipahat sebagai suatu hari dimana hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia tambah erat dan mantap. Bagi warga akademik khasnya, penganugerahan Ijazah Kehormat “Doctor Honoris Causa of Political Economis” kepada YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak oleh Universitas Hassanudin (UNHAS) merupakan satu pendekatan ‘purely academic’ yang telah berjaya memperkukuhkan kembali ikatan kekeluargaan yang cuba dilonggarkan oleh beberapa insiden kecil melibatkan warga Indonesia di Malaysia. Penganugerahan YAB Timbalan Perdana Menteri oleh UNHAS adalah sebagai mengambilkira ketokohan beliau dan kaitan kekeluargaan yang amat rapat dari almarhum Tun Abd Razak dengan Makassar.

Dr. Alfitra Salam, seorang karyawan dan budayawan dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Makassar Connection dan Hubungan Indonesia-Malaysia” menyebut bahawa Dato Sri Najib Tun Abdul Razak sebagai tokoh masa depan dari Malaysia yang tentunya masih memiliki semangat “Tun Abdul Razak” yang dapat memperbaharui kembali dan menyelesaikan masalah secara baik serta berupaya membawa hubungan Indonesia dan Malaysia ke hadapan. Sejarah mencatatkan bahawa almarhum Tun Abdul Razak merupakan tokoh politik nasional Malaysia yang telah meletakkan dasar memperteguhkan hubungan diplomatik Indonesia-Malaysia sekaligus mengharmonisasikan kembali hubungan agak renggang sebelum itu.

Selanjutnya beliau menyebut akan peripentingnya usaha mempereratkan hubungan kedua buah negara yang mempunyai pertalian kekeluargaan yang rapat ini agar dimurnikan lagi menerusi permuafakatan dalam aktiviti kebudayaan, bahasa dan sastera. Dengan berteraskan ‘lingua franca’ bahasa ibunda yang tidak jauh bezanya. Masyarakat kedua buah negara mampu berkomunikasi dengan jelas dan ramah yang akan berupaya merungkai segala kesulitan yang berlaku yang cuba merenggangkan hubungan akrab dan berdarah daging yang sama itu.

Dalam Pidato Pengijazahannya, YAB Dato Sri menekankan bahawa telah wujud satu hubungan kekeluargaan yang amat rapat di antara Malaysia dan Indonesia bermula sejak zaman berzaman. Ibarat sebuah keluarga, memang biasa jika berlaku pergeseran antara suami isteri mahu pun adik beradik. Tetapi akhirnya penyelesaian yang akan digunakan adalah berorientasikan kekeluargaan. Lidah boleh tergigit, namun ianya tak mudah putus. Sakit gigitan yang terasa selalunya cepat benar berlalu.

Lanjutan daripada Majlis konvokesyen itu telah diadakan Konferen Hubungan Diplomatik Malaysia dan Indonesia di UNHAS pada 11 September 2007. Pensyarah Sekolah Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sabah, En. Wan Shawaluddin Wan Hassan, telah turut diundang untuk membentangkan kertas kerjanya yang menjurus kepada Hubungan Negeri Sabah dan Indonesia. Dalam kertas kerja beliau mendapati bahawa pertalian yang begitu rapat antara Malaysia dan Indonesia adalah melalui negeri Sabah disebabkan negeri ini mempunyai persempadanan yang paling dekat dengan wilayah Kalimantan Timur Indonesia. Persempadanan yang wujud walau pun kukuh dari segi kawalannya tetapi tidak pula memisahkan hubungan persaudaraan yang rapat sepertimana yang terdapat di kalangan masyarakat di Pulau Sebatik, Tawau.

“Beg yang muatannya ringan akan terasa berat dan membebankan jika ukuran tali yang mengangkatnya bersaiz kecil. Ini adalah kerana teori fizik menjelaskan bahawa berat itu adalah disebabkan oleh faktor saiz tali yang telah menyebabkan tekanan kepada jari manusia yang memang sensitif dengan sentuhan.” Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UMS, yang turut hadir dalam program-program bersempena dengan Konvokesyen Khas itu memberi pendapat bahawa hubungan Malaysia Indonesia dapat dimantapkan dengan wujudnya satu pertalian yang lebih baik. Dalam hubungan ini, maka peranan Kementerian Pengajian Tinggi khususnya IPTA adalah mekanisma alternatif yang dapat memperkukuhkan lagi ikatan serumpun itu. Beliau berkata demikian dalam Konferen Kepimpinan Mahasiswa Malaysia di Hotel Empirial Aryaduta, Makassar. Konferen tersebut turut disertai oleh YB Dato Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dan YB Dato Zainudin Maidin, Menteri Penerangan Malaysia.

Selain itu, Universiti Malaysia Sabah turut mengadakan pameran berkaitan universiti dalam Ekspo Pendidikan Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang diadakan selama tiga hari dari 9 hingga 11 September 2007 di Hotel Empirial Aryaduta. Ekspo ini berjaya menarik minat orang awam dan para pelajar dari sekitar Makassar dan telah dijayakan bersama oleh para mahasiswa Malaysia di Indonesia.

Wallace Line mungkin banyak memfokuskan kepada penemuan-penemuan yang diperolehi oleh Arthur Russel Wallace, tetapi beliau juga mencatat dalam laporannya mengenai Ali dan Badroon yang berbeza pada kacamatanya tetapi mudah bekerjasama antara satu sama lain. Pernyataan ini sekurang-kurangnya menggambarkan bahawa sebagai warga yang mempunyai senario dan latarbelakang kehidupan yang tidak jauh bezanya, warga Malaysia-Indonesia mampu membentuk suatu ikatan perpaduan yang kuat dan mantap.

Jakaria Dasan, New Sabah Times, 2007

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment