SINDROM TARIK DIRI DALAM PERTANDINGAN PERINGKAT BAHAGIAN UMNO

Tahniah kepada mereka yang menang dan akan menang dalam pertandingan khususnya di peringkat Ketua, Timbalan, Naib, di semua sayap kepimpinan UMNO Bahagian yang telah dan akan bersidang. Minggu ini bermulanya satu detik penting dalam perjuangan parti UMNO pada episod baru dimana Yang Amat Berhormat Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah pasti akan menerajui tampuk UMNO selaku pewaris pencorak kegemilangan negara bermula seawal Mac 2009. Kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, negara mengecapi kegemilangannya yang tersendiri. Jika ditelusuri secara bermuhasabah, banyak kemajuan yang rakyat negara ini terhutang budi kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Pada saat ini beliau pastinya gigih mempersiapkan suatu wasilah yang akan memberi landasan terbaik kepada pengganti beliau memperkasa UMNO khususnya dan Barisan Nasional umumnya sebagai tunjang kepimpinan negara.

Berita di ASTRO, TV3 dan RTM serta muka-muka depan akhbar kian silih berganti dengan berita mengenai pemimpin-pemimpin nasional yang telah menerima pencalonan dari perwakilan di Mesyuarat-Mesyuarat Bahagian. Secara khusus, fokus lebih terarah kepada siapa yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ketua Pemuda. Jawatan lain turut menarik tetapi tidak sehebat ketiga-tiga jawatan ini. Wajah corak kepimpinan negara di masa hadapan, seolah-olah mudah diramal sebaik sahaja ketiga-tiga jawatan itu diketahui pemenangnya kelak iaitu pada Mac 2009. Secara matematiknya jika wakil Sabah layak bertanding samada di Kerusi Naib dan AMT, "Sabah Tatap" membuka suatu era baru dalam kepimpinan UMNO. Yang Berhormat Datuk Hj Shafie Apdal tidak mempunyai halangan untuk mencipta sejarah. Pada masa yang sama, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Musa Hj Aman, bakal terus menjadi antara AMT yang paling banyak mendapat pencalonan. InsyaAllah. saya percaya itu adalah antara rencah penyeri Mesyuarat Pemilihan UMNO di peringkat Bahagian kali ini.

Namun, saya ingin menarik fokus pembaca kepada tajuk tulisan saya yang merujuk kepada trend tarik diri di peringkat Bahagian. Selaku mantan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran dan pernah bertugas sebagai Setiausaha Sulit Menteri, saya nampak suatu trend yang mempunyai dua persepsi, sihat dan tidak sihat. Saya teringat kepada kata pepatah "Lain hulu, lain parang. Lain dahulu, lain sekarang." Pepatah ini menunjukkan bahawa berlaku suatu perubahan budaya dalam suatu corak pelaksanaan disebabkan oleh perkembangan globalisasi dan pelbagai cabaran semasa. Perubahan itu tidaklah pula merujuk kepada trend "tarik diri." Perkara yang sama, masih berlaku lagi. Antara punca tarik diri ialah kerana kesedaran calon mengenai kemampuan pesaing yang lebih baik. Disamping itu, calon yang menarik diri juga percaya dan yakin, tindakannya itu akan merapatkan perjuangan ahli-ahli parti (penyokong). Isunya ialah, kenapa kesedaran itu berlaku di saat-saat akhir. Walhal, semasa perisytiharan layak bertanding, calon-calon telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahli di cawangan. Malah terdengar khabar-khabar angin ada ahli di cawangan yang bermasam muka hanya kerana berlainan calon. Lebih malang lagi, terdapat calon yang benar-benar mahu bertanding tetapi kerana popularnya ”calon tarik diri” di peringkat cawangan. Calon yang kempunan... terasa juga geram dilubuk hatinya.

Saya menaruh kepercayaan bahawa keputusan calon menarik diri di saat akhir adalah atas alasan yang positif dan wajar dihormati. Cuma untuk masa-masa akan datang setiap calon perlu benar-benar bersedia untuk menerima pencalonan dan buat keputusan tarik diri pada saat pencalonan dan bukannya hanya diisytiharkan pada Mesyuarat Bahagian. Dengan yang demikian, calon lain ada ruang untuk diketengahkan. Paling penting ialah, sejak awal lagi proses penyatuan ahli-ahli UMNO telah bermula tanpa ada persaingan kumpulan A dan B. Jika di saat akhir, "carik-carik bulu ayam" di kalangan ahli memang berlaku. Akan tetapi tidakkah kita terfikir, seperti wujud suatu ketidakadilan kepada calon yang benar-benar ingin bertanding atas dasar mewakili ahli-ahli di akar umbi. Mohon diterima dan difikirkan tulisan ini secara ikhlas dan matang.

oleh Jakaria Dasan
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UMS
(ditulis dan disiarkan dalam Akhbar New Sabah Times dan Utusan Borneo sehari selepas Keputusan Pemilihan UMNO Bahagian Tuaran tahun 2009)

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment