Penerbit UMS - Menyemarak Budaya Membaca

Penyelidikan yang konsisten mencakupi pelbagai aspek sosio, ekonomi, politik, budaya, pendidikan dan sebagainya turut menjadi intipati kepada kajian ilmiah yang dilakukan oleh ahli-ahli akademik UMS. Hasil-hasil kajian ini kemudiannya dibukukan oleh Penerbit UMS, selaku unit yang diberi pertanggungjawaban untuk mempastikan kesinambungan komitmen ‘publish or perish’ dalam kalangan ahli akademik UMS. Terdapat banyak buku-buku ilmiah yang sebenarnya sesuai untuk dibaca oleh masyarakat umum. Selain memberi manfaat keilmuan, penerbitan buku-buku karya ahli akademik UMS bakal meningkatkan lagi budaya membaca dalam kalangan warganya.

Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran – Masyarakat Peribumi Sabah (1881-1963)
Salah satu daripada buku-buku yang diterbitkan ialah buku mengenai masyarakat peribumi negeri Sabah. Buku hasil tulisan Siti Aidah Hj Lokin yang bertajuk “Perubahan Sosioekonomi dan Pentadbiran – Masyarakat Peribumi Sabah (1881-1963),” memperincikan dengan cukup lengkap dan tersusun akan perkembangan masyarakat peribumi Sabah sedasawarsa sebelum merdeka. Kronologi Masyarakat Peribumi Sabah Sedasawarsa Sebelum Merdeka disingkap seawal kewujudan kelompok masyarakat awal peribumi negeri Sabah sehinggalah Sabah merdeka menerusi Malaysia pada 16 September 1963.

Buku ini mengandungi enam bab semuanya. Bab Pertama menceritakan mengenai sejarah awal negeri Sabah dan masyarakat peribuminya sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat. Bab Dua membawa pembaca ke era pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (1881-1942). Bab Tiga menerangkan mengenai perkembangan masyarakat peribumi semasa pendudukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua meletus (1942-1945). Bab Empat menyorot kembali perubahan sosioekonomi dan pentadbiran masyarakat pasca Perang Dunia Kedua. Bab Lima menjejak semula kesedaran berpolitik masyarakat peribumi sehingga tahun 1963. Manakala, Bab Enam merupakan kesimpulan kepada kupasan-kupasan yang telah ditulis dengan terperinci dan menarik oleh penulis dari Bab Pertama hingga Bab Lima.

Dengan membaca buku ini, pembaca bukan sahaja dapat mengetahui fakta sejarah masa lalu, malah pembaca juga seolah berada dalam setiap dasawarsa masa itu.

Arkeologi Maritim Borneo – Kajian di Tanjung Simpang Mengayau
Terdapat banyak tempat menarik di Sabah yang sering menjadi daya tarikan untuk para pelawat dari dalam dan luar negara datang mengunjunginya. Tempat-tempat menarik itu bukan hanya mengekalkan ciri-ciri semula jadinya malah mempunyai artifak-artifak sejarah yang kerap menjadi sumber kajian dan rujukan para penyelidik dari seluruh dunia. Namun, masih banyak yang boleh dilakukan bagi memastikan tempat-tempat menarik itu ‘mesra pelawat.’ Sudah tentu ianya memerlukan komitmen pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat itu sendiri. Selain itu, penemuan khazanah lama yang melambangkan keadaan hidup masyarakat silam seperti yang terdapat di dasar laut di sekitar perairan Tanjung Simpang Mengayau contohnya, wajar diabadikan secara serius bagi memperkembangkan dan meningkatkan lagi pakej daya tarikan Tanjung Simpang Mengayau khasnya, dan negeri Sabah amnya.

Dalam hubungan ini, buku bertajuk “Arkeologi Maritim Borneo – Kajian di Tanjung Simpang Mengayau” hasil tulisan dan suntingan Baszley Bee Basrah Bee dan Bilcher Bala, dua orang penyelidik dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah menyingkap lebih lanjut mengenai potensi Tanjung Simpang Mengayau sebagai pusat warisan kebudayaan bawah air Borneo. Selama tiga dekad perkembangan arkeologi maritim Malaysia, banyak penemuan tapak baharu dan kajian yang telah dilakukan sama ada dari perspektif ilmiah mahupun salvaj komersil. Pada dua dekad awalnya, perkembangan lebih tertumpu kepada perairan Selat Melaka dan bahagian timur Semenanjung Malaysia. Penjarahan tapak Risdam di perairan Mersing pada tahun 1983 hinggalah usaha salvaj tapak Royal Nanhai pada tahun 1996 telah membayangi perkembangan arkeologi maritim negara ini. Walau bagaimanapun, senario ini mula berubah apabila perkembangan arkeologi maritim Malaysia memasuki alaf baharu pada abad ke-21.

Prosedur Pengurusan Produksi Teater
Di negara-negara maju dan beberapa buah negara membangun, seni teater merupakan salah satu daripada pakej menarik yang mampu menjana pendapatan kepada ekonomi negara-negara berkenaan. Malah para pelancong yang melawat ke negara-negara itu pasti akan menjadikan aktiviti menonton pementasan teater sebagai salah satu daripada pengisian program lawatan mereka. Selain peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan dan swasta dalam mempromosi kemasyhuran pementasan teater mereka, pembangunan seni teater di negara-negara berkenaan juga disokong oleh produksi teater universiti-universiti dalam negara tersebut. Terdapat beberapa contoh seperti, University of Hawaii yang terkenal dengan teater seni tarinya, University of Berkeley dengan teater seni muziknya dan Institut Kesenian Jakarta dengan kehebatan teater seni dramanya.

Prospek pementasan seni teater sebagai suatu produk yang menguntungkan negara begitu cerah dan telah terbukti. Ini adalah sepertimana yang berlaku di negara-negara maju dan membangun. Sehubungan itu, sudah sampai masanya semua pihak melihat kepada keperluan untuk membangun ‘produk’ ini secara terancang dan efektif. Dengan kata lain, usaha perlu dilakukan bagi menghasilkan produksi teater yang bukan hanya menghibur sebaliknya mendidik penonton atau masyarakat. Pada masa yang sama komitmen dan kerjasama semua pihak yang mempunyai kaitan langsung dengan penghasilan produksi teater adalah begitu signifikan dan dialu-alukan. Dalam hubungan ini, pihak universiti umpamanya bersama-sama dengan pihak Kementerian, Jabatan dan pihak berkuasa serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan perlu bergerak secara bersama dan proaktif.

Dalam buku yang bertajuk “Prosedur Pengurusan Produksi Teater,” pengarangnya, Dr. Andika Aziz Hussin, mengupas lanjut mengenai senario ini. Buku beliau secara khusus turut membincangkan teknik-teknik pementasan teater yang sungguh komprehensif dan berinformasi. Buku ini sangat sesuai untuk menjadi bahan rujukan kerana ianya mengandungi kaedah dan tatacara menghasilkan sebuah produksi teater yang baik dan berkualiti. Di samping itu, belum ada lagi buku pengurusan seni teater dalam bahasa Malaysia yang sesuai untuk dijadikan bahan rujukan. Justeru, buku ini dihasilkan untuk mengisi kekosongan atau ketandusan buku pengurusan teater di Malaysia.


Asas Kesihatan Masyarakat
”Homo sapiens iaitu spesies manusia moden masa kini didapati telah menunjukkan usaha-usaha untuk mencapai kemandirian dan kesejahteraan diri. Kenyataan ini dibuktikan menerusi hasil tinggalan fosil dan tamadun yang dikembangkan beberapa ribu tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, telah berlaku peralihan demografi, epidemiologi, pemakanan dan sebagainya. Ketika peralihan demografi, didapati kadar kematian dan kelahiran manusia yang tinggi telah berubah rendah. Dari sudut peralihan epidemiologi pula, perubahan kadar prevalens didapati tinggi dari penyakit berjangkit kepada penyakit tidak berjangkit. Sementara itu, peralihan pemakanan pula mengalami perubahan dari corak pemakanan individu dan penduduk yang rendah kalori serta lemak kepada yang tinggi lemak dan protein. Kesemua perubahan ini menggambarkan keupayaan manusia untuk mengawal alam sekitarnya dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam semua bidang ilmu.” Prof. Dr. Osman Ali, Asas Kesihatan Masyarakat, Penerbit UMS.

Walaupun buku ini merupakan salah satu daripada teks rujukan untuk para pelajar Sekolah Perubatan, karya ini sebenarnya wajar dimiliki oleh setiap individu atau keluarga. Hal ini demikian kerana kandungan buku yang begitu komprehensif dan mudah difahami adalah amat sesuai untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya menjaga dan memelihara diri serta keluarga daripada terdedah kepada gangguan ataupun ancaman kesihatan. Apatah lagi dengan krisis kesihatan pada masa ini akibat daripada pelbagai jangkitan virus seperti influenza H1N1 yang membimbangkan itu.

Pembentukan Modal Insan Cemerlang: Pendekatan Ekonomi Islam
Penulis buku ini, Prof. Madya Dr Hj Kasim Hj Md Mansur, menyentuh mengenai kepentingan pembangunan modal insan dalam organisasi. Kesinambungan kecemerlangan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada keterampilan dan kecemerlangan modal insan yang dimiliki oleh sesebuah organisasi tersebut. Buku beliau membincangkan dan mengupas pembentukan modal insan mengikut pendekatan Islam. Salah satu topik utama penulisan buku ini ialah mekanisme atau tadbir urus modal insan menurut Islam. Islam bukan hanya berkisar tentang hal-hal keagamaan semata-mata, tetapi merupakan satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif.

Modal insan menurut Islam membincangkan insan kamil yang bercirikan ketelusan, penuh pertanggungjawaban dan bebas daripada elemen-elemen yang boleh membawa kehancuran bukan hanya terhadap individu tersebut, malah mengundang malapetaka kepada organisasi, masyarakat dan negara. Kecemerlangan akan tercapai jika hubungan yang intim wujud antara majikan dan pekerja. Selanjutnya dalam buku tersebut, Dr Hj Kasim membincang secara terperinci tentang doktrin rangka kerja Islam, pengharaman riba, sumber halal dan haram, undang-undang harta pusaka, peranan institusi zakat serta penetapan harga faktor seperti gaji atau upah pekerja. Isu-isu yang berkaitan dengan perburuhan secara umumnya dibincang berpandukan firman-firman Allah SWT dan beberapa hadis Rasulullah SAW. Topik-topik seperti buruh wanita dan buruh kanak-kanak juga antara isu yang dihuraikan oleh beliau dalam buku tersebut

Itu hanyalah sebahagian daripada kupasan buku yang diterbitkan oleh Penerbit UMS. Masyarakat umum dialu-alukan untuk mendapatkan pelbagai buku ilmiah dengan topik yang menarik dengan menghubungi Pejabat Unit Penerbitan di Perpustakaan UMS.

oleh Jakaria Dasan

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment