AKADEMI MASA DEPAN
“Kita menanti kedatangan mahasiswa mahasiswi baru 2007/2008 dengan penuh debar dan bangga. Debaran itu kita rasakan kerana untuk beberapa tahun berikutnya mereka akan dipertanggungjawabkan kepada kita oleh para ibu bapa. Pastinya pelbagai ragam dan cabaran yang akan kita hadapi bersama-sama dengan setiap pelajar yang datang itu. Sudah tentu kita juga merasa amat berbangga menerima mereka ini kerana merekalah yang kelak akan menjadi modal insan harapan bangsa dan negara. “Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” Universiti Malaysia Sabah mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa mahasiswi ke “Akademi Masa Depan”....Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin”
Bermula dari 30 Jun sehingga 6 Julai 2007, pendaftaran dan minggu orientasi pelajar-pelajar baru sesi 2007/2008 akan diadakan di semua universiti di seluruh negara. Di UMS seramai 4,800 orang pelajar akan mula mengenali kehidupan baru mereka di satu-satunya menara gading yang ditubuhkan di Sabah dan W.P. Labuan. Setelah 13 tahun melalui pembelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan jayanya, akhirnya mereka berada di universiti yang bakal merealisasikan impian yang dicita-citakan. Daripada 65,000 orang yang memohon, hanya seramai 40,000 sahaja yang berjaya mendapat tempat di IPTA di seluruh negara. 25,000 lagi pada ketika ini sedang menanti keputusan e-Rayuan mereka dan ada yang mungkin telah mula memohon di IPTS.
Menjelang 50 tahun merdeka, negara kini sudah pun mempunyai 20 IPTA yang boleh menampung lebih ramai anak bangsa yang berkelayakan. Dalam hubungan ini UMS sekali lagi memahat sejarah dengan mengambil pendekatan melalui program “UMS-Universiti Rakyat” yang telah mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan masyarakat di kawasan pendalaman, Tambunan dan Keningau pada 22 dan 23 Jun yang lalu. Selain menemui sendiri pada ibu bapa di Dewan Masyarakat Tambunan dan di Kampung Bayangan Keningau, rombongan UMS yang terdiri daripada semua Pegawai Utama dan Pengurusan termasuk para Dekan telah membuat kejutan dengan memberi penerangan mengenai UMS dan turut menyampaikan berita gembira – surat tawaran kepada beberapa orang pelajar yang berjaya di rumah mereka sendiri. “Tahniah! Anak anda telah berjaya ke AKADEMI MASA DEPAN. Ini adalah surat tawaran ke UMS...” kata Prof Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin kepada ibu bapa yang anak mereka telah berjaya masuk ke UMS semasa kunjungan mengejut ke rumah-rumah pelajar.
Bersama-sama kemasukan pelajar baru ini, 40% daripadanya adalah terdiri daripada mereka yang berasal dari Sabah dan W.P. Labuan, manakala selebihnya adalah daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Sekaligus ianya melengkapi usaha kerajaan memupuk integrasi nasional yang utuh dan kukuh di kalangan generasi muda di negara ini. Secara tidak langsung, para pelajar yang datang dari luar yang mewakili 60% daripadanya akan membawa bersama-sama mereka satu perkembangan yang positif khususnya kepada ekonomi negeri Sabah. Selama mereka berada di Sabah pastinya mereka dan keluarga akan berbelanja. “Seorang pemandu teksi sudah tentu akan mendapat jumlah penumpang yang lebih ramai daripada kebiasaannya, kerana pelajar dan keluarga yang datang menghantar anak mereka akan datang melawat Sabah lebih kerap. Selain itu, pastinya mereka akan tinggal di Hotel atau rumah sewa yang rancak dibangunkan. Masyarakat luar bandar juga turut berpeluang memasarkan produk hasil kraftangan dan tanaman yang mereka usahakan... Mohd Noh Dalimin.”
Pada 22 Jun bertempat di Dewan Masyarakat Tambunan program ke empat UMS~Universiti Rakyat telah diadakan dengan kerjasama YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Pejabat Daerah Tambunan. Seramai hampir 200 orang pemimpin-pemimpin masyarakat dan persatuan serta para ibu bapa telah menghadiri perjumpaan tersebut yang bertemakan “Visi Pendidikan di Kawasan Pendalaman.” Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan mengalu-alukan usaha Naib Canselor UMS membawa semua pegawai utama dan Dekan mendekati masyarakat melalui program UMS-Universiti Rakyat yang dijalankan sejak Disember 2006 itu. Program ini berupaya mendekatkan universiti di hati rakyat khususnya masyarakat luar bandar/pendalaman Sabah. Ianya berupaya menaikkan semangat para ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka belajar lebih gigih dan akhirnya layak masuk ke universiti kebanggaan khususnya rakyat pedalaman di Sabah, UMS. “ Sebelum ini kita telah biasa bersama dengan program-program kemahasiswaan sahaja yang pernah mengadakan program khidmat masyarakat, tetapi pada kali ini ianya amat lain dari yang lain. Saya difahamkan pendekatan UMS ini merupakan satu-satunya pendekatan yang dibuat secara berterusan oleh sesebuah Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia. Syabas diucapkan dan semoga hasrat meletakkan UMS sebagai universiti rakyat akan dapat diterapkan menerusi program seumpama ini.. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.”
Universiti merupakan sebuah institusi yang menjadi kayu pengukur kepada keunggulan ilmu seseorang itu. Jika seseorang itu berjaya menamatkan pengajian di universiti maka ianya secara langsung akan dianggap sebagai orang yang berpelajaran. Dan sudah tentulah orang yang berpelajaran ini sentiasa mendapat tempat yang baik dan dihormati di kalangan masyarakat. Dalam usaha memartabatkan ilmu pengetahuan atau pendidikan ini di kalangan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman maka satu momentum baru dalam menaikkan semangat masyarakat perlu dilakukan.
Buat kesekian lamanya, maklumat mengenai sesebuah universiti itu diperolehi dengan pergi sendiri ke Universiti yang terletak jauh di bandar atau di luar Sabah, bagi yang mampu. Bagi yang kurang mampu maka maklumat itu diperolehi melalui hubungan telefon, bersurat dan sebagainya. Tetapi pada kali ini, pihak pengurusan UMS telah mengambil langkah proaktif, turun padang menemui masyarakat di daerah Tambunan.
Dengan kedudukannya di kawasan tanah tinggi dan berlembah, Tambunan secara langsungnya mempunyai keunikan lokasinya yang tersendiri yang akan meletakkan daerah ini sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tidak terdapat pada daerah lain di Sabah. Apa yang perlu ialah usaha untuk mengenalpasti potensi yang ada dan meningkatkan lagi keistimewaan yang dimilikinya. Inilah antara lain visi yang perlu sama-sama difikirkan dan dicetuskan agar ianya menjadi pemangkin kepada pembangunan Daerah Tambunan.
“Saya amat optimis bahawa cita-cita mencapai tahap pembangunan yang lebih baik dari hari ini bergantung sepenuhnya kepada penerapan ilmu pendidikan khususnya di kalangan generasi muda kita pada hari ini. Visi menjadikan pendidikan sebagai teras utama membangun kawasan Tambunan adalah dengan melahirkan modal insan yang berwawasan dari kalangan anak tempatan kita. Merekalah yang akan memperkemaskan lagi kesinambungan rancangan pembangunan yang begitu giat dijalankan oleh kerajaan pada masa ini. Dalam hubungan ini kerjasama yang rapat dengan UMS, universiti kebanggaan rakyat Malaysia di Sabah dan WP. Labuan, akan membantu merealisasikan harapan ini dengan lebih cepat.”... petikan ucapan YB Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Pada 23 Jun 2007, siri Program UMS~Universiti Rakyat yang ke-5 telah diadakan di Kg Bayangan Keningau bersama dengan YB Datuk Hj Sairin Karno, ADUN Liawan dan turut disertai oleh YB En Justin Gukah, ADUN Bingkor. UMS telah disambut lebih daripada 1,000 orang penduduk Kg Bayangan dan sekitarnya termasuklah wakil-wakil pelajar dari seluruh Sekolah Menengah Daerah Keningau. Dengan tema “UMS Turun Padang” beberapa persoalan telah diutarakan oleh mereka yang hadir dan diberi penjelasan dengan baik oleh Naib Canselor dan anggota rombongannya. “Hari ini buat makluman saudara dan saudari sekalian, UMS di Kota Kinabalu tidak mungkin dapat beroperasi sepenuhnya kerana semua pegawai utama dan Dekan-Dekan Sekolah (Fakulti) berada bersama-sama saya, turun padang di Kg Bayangan Keningau” ucap Prof Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin yang disambut dengan tepukan gemuruh mereka yang hadir di perjumpaan yang diadakan di astaka khas di atas padang Kg Bayangan Keningau.
Dalam ucapan alu-aluannya, YB Datuk Hj Sairin Keningau meluahkan rasa terharunya kerana kedatangan UMS adalah tepat pada masanya. Beliau yang baru-baru ini telah mengumumkan akan kesungguhannya untuk merealisasikan hasrat “satu keluarga satu profesional” merasakan bahawa UMS berupaya menzahirkan hasrat tersebut. Beliau juga telah mengemukakan cadangan kepada UMS (Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia) untuk mempertimbangkan tanah seluas 40 ekar di Apin-Apin untuk dijadikan pusat asasi sains yang bertindak sebagai kampus cawangan UMS. Lawatan ke tapak berhampiran dengan jalanraya utama telah diadakan sejurus selepas majlis “UMS Turun Padang.”
Pada hari yang sama, UMS juga telah mengadakan lawatan mengejut ke rumah dua orang pelajar masing-masing di Kg Tudan Baru dan Kg Toboh Keningau bagi menyampaikan sendiri salinan surat tawaran kemasukan ke UMS kepada pelajar di hadapan ibu bapa dan ahli keluarga mereka. Suasana gembira bercampur sebak menyelubungi keadaan itu. Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh berjaya masuk ke universiti dan menerima sendiri surat tawaran dari Naib Canselor UMS dalam rumah mereka sendiri. Kalau Akademi Fantasia membuat kejutan, UMS juga berupaya memberi kejutan yang lebih baik dari itu dengan menyampaikan surat tawaran ke “Akademi Masa Depan.” Dalam lawatan itu Ibu bapa kedua-dua pelajar turut diberikan cenderamata berupa jam dinding universiti.
Seramai lebih 50 orang pelajar baru dan 10 orang pelajar luar kampus dari kawasan Keningau turut menerima surat tawaran mereka di Hotel Juta Keningau pada petang itu yang telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr. Hj Sanudin Hj Tahir dengan disaksikan oleh YB Datuk Hj Sairin Karno dan YBhg Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin dan para pegawai utama UMS lainnya.
Pada tahun ini, UMS juga telah mengadakan beberapa pendekatan baru bagi mempermudahkan pendaftaran pelajar yang datang dari luar Sabah. Melalui peranan Jabatan Hal Ehwal Pelajarnya, kaunter-kaunter khas telah dibuka di beberapa buah lapangan terbang di Semenanjung Malaysia. “Berdasarkan kepada pengalaman yang lepas, kita dapati bahawa ada kerisauan di kalangan ibu bapa dari Semenanjung khususnya, akan keselamatan anak-anak mereka untuk sampai ke UMS. Sehubungan itu pada kali ini, UMS telah mengambil pendekatan dengan membuka kaunter khas UMS di lapangan terbang Kota Bharu dan Senai Johor Bahru. Para ibu bapa dan pelajar yang akan ke UMS telah diberikan peluang untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai UMS. Ini sedikit sebanyak telah mengurangkan keresahan para ibu bapa yang tidak dapat bersama-sama anak-anak mereka melapor diri di UMS.”... Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.
“Universiti sebagai Akademi Masa Depan adalah gedung ilmu yang akan melahirkan modal insan yang akan meneruskan kesinambungan kemajuan negara. Jika sumber manusia ini melalui proses-proses transformasi yang terbaik maka mereka akan menjadi yang terbaik. Dalam tempoh mula melangkah masuk ke universiti sehinggalah mereka selesai memperolehi ijazah pertama, mereka akan melalui pengalaman pembelajaran dengan lebih matang. Di bahu universiti harapan yang tinggi diletakkan oleh para ibu bapa agar anak-anak mereka ini mendapat penjagaan yang sempurna. Dan pastinya, ibarat ibu dan bapa, universiti menganggap bahawa mahasiswa mahasiswi itu seperti anak-anak yang baru dilahirkan dan akan dibesarkan dengan penuh kasih dan sayang. Tatkala mencapai usia tahun yang ke empat mereka pasti akan mampu berjalan dengan sendirinya.”
Jakaria Dasan, New Sabah Times, 2007

Comments
Post a Comment