TIGA JENIS PEPERANGAN SEPANJANG ZAMAN

Tamadun manusia sentiasa berubah disebabkan oleh kemajuan ilmu. Namun kebangkitan sesebuah tamadun itu sampai ke kemuncaknya apabila ilmu disalahguna dan sikap tamak menguasai diri bangsa itu. Akibatnya, tamadun yang gagah dan gah dalam sedekad pembinaannya musnah dan berkubur dalam hanya tempoh sehari semalam sahaja. Berdasarkan fakta sejarah, peperangan adalah antara gelombang pemusnah sesebuah tamadun yang utama. Dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi dengan tuan-tuan mengenai tiga jenis peperangan sepanjang zaman.

Sejak zaman kabilah merentasi zaman monarki Eropah sehinggalah sebelum Portugis menjarah Melaka, peperangan itu dikenali sebagai peperangan "iron and blood."
Kekuasaan disandarkan kepada ilmu tempur menggunakan senjata tajam. Pada tahun 1862, Otto Van Bismark, Perdana Menteri Prusia telah menyampaikan ucapan kepada Menteri-Menteri Prusia untuk memerangi Austria bagi menubuhkan negara Jerman. Dalam ucapan beliau, beliau menyebut bahawa perkara penting dalam sejarah hari ini tidak boleh ditentukan dengan ucapan atau resolusi mendapatkan majoriti, tetapi sebaliknya ialah dengan menghunus senjata dan membasahi bumi dengan darah. Ucapan beliau itu telah mendapat tentangan Menteri-Menteri dan beliau telah difitnah untuk dihukum oleh Raja Prusia. Akan tetapi disebabkan beliau seorang yang agung pada zamannya, maka beliau dapat juga memujuk Raja. Selepas itu perang pun meletus dan Austria ditawan oleh Prusia. Negara Jerman tertubuh selepas itu. Beberapa contoh lain seperti cerita Iskandar Zulkarnain turut mengisahkan peperangan yang bersandarkan kepada senjata tajam.

Peperangan jenis kedua ialah melibatkan senjata berpeluru yang tidak bermata. Bila Portugis menawan Melaka, pahlawan-pahlawan Melaka tidak dapat menangkis peluru dengan keris dan pedang. Akibatnya Melaka sehinggalah sebelum kewujudan Persekutuan Malaysia, tanahair tercinta ini telah ditawan selama 446 tahun lamanya. Peperangan menggunakan senjata jenis ini juga menjadi senjata pemusnah dalam perang dunia pertama, kedua dan perang dingin. Apabila fahaman komunisme mula merebak ke seluruh dunia, maka penggunaan senjata ini semakin bertambah canggih dan mengakibatkan kemusnahan yang berlipatkali ganda. Ini disebabkan sebelum peluru memutus nyawa, idealisme komunisme telah disebarkan secara nyata. Impak komunisme begitu ketara. Kuasa mereka hampir-hampir merebak ke seluruh dunia melalui teori domino yang popular itu. Namun sekali lagi peperangan jenis ini juga dapat dihalang dari berleluasa.

Pada hari ini, kita berhadapan dengan peperangan yang lebih dahsyat. Peperangan ini tidak menggunakan benda tajam mahu pun peluru yang membunuh. Perang pada zaman ini aalah perang yang dinamakan globalisasi. Perang ini berlaku dalam senyap dan tidak ada bukti fizikal yang boleh menunjukkan ianya sedang berlaku. Sasaran peperangan ini ialah minda yang tertutup untuk mengetahui malah menyedari perkara yang nyata. Sama dengan kedua-dua jenis peperangan yang terdahulu, perang kali ini juga disebabkan oleh ketinggian ilmu alam maya (siber) dalam tamadun dunia itu sendiri.

Semoga tuan-tuan mendapat sedikit manfaat dari perkongsian ilmu ini. Marilah kita sama-sama menerangkan kepada anak-anak muda kita akan peperangan yang sedang berlaku di kala ini. Nescaya kita dapat terus memperkukuhkan pertahanan legasi tamadun bangsa Malaysia yang perkasa pada hari ini.

Salam Perjuangan.

Jakaria Dasan

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

KRONOLOGI MASYARAKAT PERIBUMI SABAH SEDASAWARSA SEBELUM MERDEKA

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION