Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah

BismillahirRahmannir Rahim
Alhamdulillahir Rabbil A’lamin ....
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Muslimin Muslimat yang dimuliakan,
Terlebih dahulu marilah kita sama-sama merafakkan setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas kelangsungan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1431H/2010M, yang disambut di merata tempat di bumi Malaysia ini. Alhamdulillah dengan Nur yang menerangi jiwa, hati dan perasaan saudara saudari sekalian, kita telah dapat meluangkan masa untuk bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul yang saban tahun diadakan.

Mungkin lebih ramai lagi saudara saudara kita yang ingin turut serta dalam majlis tersebut, tetapi disebabkan oleh tugas dan program yang telah dirancang lebih awal, maka mereka tidak berkesempatan bersama-sama kita. Namun saya percaya, bahawa hati dan jiwa mereka juga bersama-sama dengan kita. Sesungguhnya kehadiran dan penyertaan saudara-saudara sekalian dalam majlis ini merupakan suatu pengorbanan yang biar pun kecil di pandangan mata masyarakat, tetapi sangat besar nilainya di sisi Allah swt. InsyaAllah dengan nawaitu yang ikhlas, kita akan mendapat keredhaan Allah swt, dan mendapat rahmat serta menemui nikmat dari-Nya kelak.

Muslimin Muslimat yang saya muliakan,
Terdapat banyak cara untuk kita menunjukkan perasaan cinta dan kasih kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Selain menjadikan Al-Quran dan As-Sunah sebagai rujukan dan panduan hidup, seseorang muslim itu boleh mempraktikkan pelbagai amalan lain seperti mencintai para ulama’ yang merupakan pewaris Nabi-Nabi, mencintai amalan-amalan kebaikan yang memupuk keharmonian hidup dalam masyarakat, mencintai masjid dan menghidupkan institusi masjid, mencintai ilmu, menjaga ukhwah dalam masyarakat, menegakkan hukum Islam dari sudut pemerintahan, ekonomi, petadbiran, pendidikan, sosial, perundangan dan sebagainya, membenci maksiat dan berusaha membanterasnya dengan bersungguh-sungguh dan lain-lain lagi.

Bukan mudah untuk kita memahami amalan-amalan ini dengan jelas, tetapi jika kita berusaha untuk mendalami ilmu agama khususnya yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW, maka insyaAllah, kita akan dengan sendirinya mudah untuk melakukan segala amalan-amalan tersebut. Mencintai Rasullullah SAW itu adalah dengan memahami tuntutan agama Islam dari keseluruhan sudut. Islam perlu dipraktiskan dalam segenap kehidupan kita. Islam tidak hanya terletak pada tikar sejadah dan masjid semata-mata, tetapi ia perlu dihayati dan diamalkan di mana-mana.

Oleh sebab itulah majlis-majlis agama seperti Perarakan Maulidur Rasul kita adakan setiap tahun sebagai suatu wahana untuk menyedarkan umat Islam mengenai sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini. Majlis seumpama ini penting bagi memperingati kisah perjuangan dan pengorbanan Baginda berdakwah menyebarkan dan memartabatkan agama Islam. Amalan secara tradisi ini, sesungguhnya merupakan kaedah penyatuan ummah dan permuafakatan paling berkesan bagi menyatupadukan masyarakat Islam yang datang dari pelbagai bangsa dan suku kaum.

Muslimin Muslimat yang saya muliakan,
Tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun 1431 Hijriah ini ialah “Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah.” Mesej yang ingin disampaikan ialah berkenaan dengan peripentingnya ikatan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam sebagai elemen penting dalam menjamin kekuatan dan survival ummah. Hakikat ini adalah bertepatan dengan pepatah Arab yang bermaksud: "Tidak dapat dicapai kemenangan melainkan dengan kekuatan dan tidak dapat dicipta kekuatan melainkan dengan penyatuan [perpaduan]".

Mesej ini sangat mendalam ertinya dan perlu difahami dengan jelas bagi memperolehi maksud yang tersirat di dalamnya. Dalam konteks nasional, kekuatan kita adalah berlandaskan kepada rakyat yang berbilang suku kaum dengan pelbagai anutan kepercayaan. Hakikat yang perlu diterima oleh semua warganegara ialah, Malaysia adalah satu-satunya negara berdaulat tempat kita sekeluarga, jiran dan sahabat handai lahir dan dibesarkan bersama-sama. Justeru, kekuatan negara ini yang dikecapi sejak merdeka perlu sentiasa kita pelihara dan perkasakan. Tidak ada cara lain selain daripada hidup dengan saling hormat-menghormati, bertolak ansur dan sentiasa patuh kepada pemerintah yang adil.

Sikap hormat menghormati tidak semestinya merujuk kepada kefahaman bahawa yang muda menghormati yang tua, yang tua mengasihi yang muda. Sebaliknya, konsep ini lebih luas maknanya dan berkaitan dengan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Setiap rakyat negara ini mempunya hak mereka masing-masing dan hendaklah bertindak mengikut landasan undang-undang dan perlembagaan. Jauhi prejudis dan fokuskan kepada persamaan, InsyaAllah kita akan sentiasa dihormati oleh orang lain.

Amalan bertolak ansur merupakan suatu amalan mulia yang akan menjadikan kehidupan masyakarat kita sentiasa aman dan harmoni. Sikap suka memberi atau membantu perlu sentiasa disemarakkan. Banyak Firman dan Hadis yang menyebut bahawa sesungguhnya rezeki itu hanya pinjaman dari Allah SWT. Sewajarnyalah kita tidak bersikap mementingkan diri, dengki, tamak dan sebagainya.

Rakyat negara ini perlu mesyukuri nikmat keamanan yang dikecapi. Sejak merdeka, kita tidak pernah lagi dijajah secara fizikal oleh mana-mana kuasa di dunia. Semuanya ini adalah kerana kita mempunyai kerajaan yang mengamalkan pemerintahan yang adil dan saksama. Namun demikian, terdapat beberapa insiden yang membimbangkan dimana telah mula wujudnya penjajahan secara halus dalam kalangan segelintir rakyat negara ini sepertimana yang dipertontonkan menerusi perbuatan dan tindakan liar mereka. Sebagai rakyat yang sayangkan negaranya, kita semua perlu bersama-sama membenteras gejala-gejala seperti ini dari terus berleluasa yang akan membibitkan generasi masa depan yang mindanya cenderung untuk rela dijajah.

Muslimin Muslimat yang saya muliakan,
Semoga coretan ini sedikit sebanyak dapat memandu kita untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dari sebelum ini. Dan sesungguhnya kehidupan Rasulullah SAW itu adalah suatu contoh kehidupan yang terbaik.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

jdUMS

Comments

Popular posts from this blog

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

THE ESSENCE OF EFFECTIVE COMMUNICATION

Matching Structure with Environment